FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tiga remaja termasuk seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan kejadian pukul cermin kereta yang tular sejak kelmarin.

Kesemua mereka berusia 16 hingga 21 tahun itu ditahan di Jalan Dusun Muda, di sini, pada 2.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, semakan mendapati suspek berusia 21 tahun memiliki satu rekod jenayah berkait dadah.

"Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka didapati negatif dadah.

"Dua daripada mereka direman selama tiga hari manakala remaja berusia 16 tahun itu pula direman dua hari bermula hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian di Jalan Lundang, di sini, pada 11 pagi kelmarin, seorang daripada tiga suspek bertindak memukul cermin kereta Perodua Myvi yang dikatakan menghimpit kumpulan motosikal mereka.

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat selepas kereta berkenaan diekori kumpulan penunggang motosikal terbabit.

Tindakan itu dirakam oleh pengguna jalan raya lain sebelum dua klip rakaman berdurasi 36 saat dan 37 saat ditularkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 5:44 PM