Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Lima daripada tujuh individu yang ditahan termasuk tiga wanita kerana terbabit dalam pergaduhan yang tular di Jalan Pasir Tumboh, Kubang Kerian, di sini, kelmarin didapati positif dadah.

Kesemua mereka ditahan secara berasingan di Kota Bharu dan Pasir Puteh pada petang semalam serta malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kesemua mereka berusia 19 hingga 46 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati lima daripada mereka termasuk tiga wanita positif dadah dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

TUJUH individu termasuk tiga wanita direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes seorang buruh dipukul beramai-ramai di tepi Jalan Pasir Tumboh, kelmarin. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUJUH individu termasuk tiga wanita direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes seorang buruh dipukul beramai-ramai di tepi Jalan Pasir Tumboh, kelmarin. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Dua daripada mereka pula memiliki rekod jenayah termasuk berkaitan kes dadah.

"Polis turut merampas Perodua Alza untuk siasatan kejadian pergaduhan yang tular sejak kelmarin," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kelmarin, tular sebuah video berdurasi tiga minit 37 saat memaparkan kejadian pertengkaran mulut antara mangsa berusia 30 tahun dengan beberapa individu sebelum mangsa dibelasah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:01 PM