Anggota polis cedera selepas khemah SJR dirempuh bas ekspres. FOTO ihsan POLIS
Anggota polis cedera selepas khemah SJR dirempuh bas ekspres. FOTO ihsan POLIS
Omar Ahmad.


Kota Tinggi: Seorang anggota polis mengalami kecederaan selepas khemah sekatan jalan raya (SJR) dilanggar bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam tadi ketika bas terbabit dari arah Larkin menuju ke Kuala Terengganu.

Katanya, kejadian berlaku apabila tempat penyimpanan tayar simpanan sebelah kanan bas yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu tiba-tiba terbuka ketika melalui khemah SJR.

"Pintu itu terkena khemah SJR yang berada di tengah jalan. Ketika kejadian terdapat anggota yang sedang bertugas di bawah khemah terbabit.

"Akibat daripada pelanggaran itu, salah seorang anggota berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan dalaman bahagian belakang, akibat dihempap besi khemah SJR. Mangsa berusia 30 tahun dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Ketika kejadian bas terbabit membawa 26 penumpang, namun tiada kecederaan dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hussin, hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu bas terbabit negatif dadah.

"Pemandu bas juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah. Suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 12:52 PM