Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk selepas bertembung dengan lori. FOTO ihsan bomba
Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk selepas bertembung dengan lori. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU kereta maut selepas bertembung sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa, Mohd Izmain Sardi, 31, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan pada badannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohamed Sazif Mohamed Subri berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Perodua Viva dari arah Johor Bahru itu cuba mengelak sebuah kenderaan yang masuk ke simpang sebelah kiri jalan.

"Selepas mengelak, mangsa memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru.

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori cedera ringan manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan pada badannya," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi diketuai pegawai operasi, Mohd Rafi Mohd Nor menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu.

Operasi ditamatkan pada 2.45 petang sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 5:44 PM