AHMAD Yakob. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Yakob. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kelantan menyalurkan sumbangan RM100,000 masing-masing kepada Selangor dan Pahang bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu daripada Tabung Serambi Mekah yang menunjukkan solidariti dan kebersamaan pihaknya bersama negeri yang terjejas dengan bencana.

Katanya, kerajaan negeri juga merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang hilang tempat berteduh dan musnah harta benda.

"Semoga usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi pemindahan dan pemulihan pasca banjir," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, jumlah mangsa banjir di lapan negeri terus menunjukkan peningkatan kepada 44,652 orang daripada 13,487 keluarga.

Menerusi data yang dikongsi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 10 pagi hari ini mangsa banjir tertinggi dilaporkan di Pahang membabitkan 26,821 individu daripada 7,172 keluarga.

Jumlah mangsa banjir Pahang itu termasuk 8,617 kanak-kanak dan 1,490 bayi selain 1,503 warga emas serta 293 orang kurang upaya (OKU).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 2:01 PM