SEORANG penduduk membawa hasil tanamannya melalui jambatan gantung di Kampung Nelayan, Sandakan ketika tinjauan, semalam.
SEORANG penduduk membawa hasil tanamannya melalui jambatan gantung di Kampung Nelayan, Sandakan ketika tinjauan, semalam.

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) meletakkan fokus utama untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi bagi menjamin kemakmuran negara bagi tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tahun lalu disifatkan sebagai tahun talian hayat di mana kerajaan membantu 11 juta Keluarga Malaysia yang meliputi pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) berjumlah RM8.8 bilion.

"Untuk tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM331.2 bilion bagi Bajet 2022, jumlah terbesar dalam sejarah. Lebih RM31 bilion diperuntukkan khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat.

"Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan memperuntukkan RM8.2 bilion bagi 9.6 juta penerima melalui pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

"Kerajaan juga memperuntukkan RM4.8 bilion di bawah inisiatif JaminKerja untuk menjana peluang pekerjaan. Tahun lalu kerajaan menyasarkan penempatan 500,000 pekerjaan, sasaran yang berjaya dicapai di mana 558,633 pencari kerja berjaya mendapat peluang pekerjaan.

"Untuk tahun ini, sasaran dinaikkan kepada 600,000 pekerjaan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Malah, kerajaan turut menyediakan pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti," katanya dalam Laporan Laksana ke-81 yang disiarkan di Facebooknya, semalam.

Tengku Zafrul berkata, tahun 2021 melabuhkan tirainya dengan bencana banjir yang masih dialami negara sehingga hari ini.

"Bagi membantu mangsa banjir, kerajaan menyediakan pelbagai pakej bantuan banjir bernilai lebih dari RM1.4 bilion.

"Mangsa boleh menerima pelbagai bantuan daripada RM10,000 hingga RM61,000.

"MOF juga memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi kerja pemulihan pascabanjir yang meliputi RM100 juta peruntukan asal dengan tambahan RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan RM50 juta untuk Pahang.

"Selain itu, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga mengaktifkan semula GLIC/GLC Disaster Response Network (GDRN) bagi membantu mangsa banjir.

"Setakat ini, GDRN membantu kira-kira 15,000 keluarga sejak 19 Disember lalu.

"MOF juga membangunkan satu portal Bantuan Banjir iaitu https://bantuanbanjir.com/ yang menyenaraikan kesemua bantuan yang boleh dipohon oleh mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:00 AM