ISMAIL Sabri. FOTO Arkib NSTP
ISMAIL Sabri. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan mahu melihat keberhasilan bukan sahaja dari segi prestasi kewangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), tetapi dari segi impak positif berterusan kepada ekosistem perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, manfaat pertumbuhan ekonomi perlu diagihkan secara saksama bagi memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia.

"Walaupun kita pernah melaksanakan Program Prestasi Tinggi GLC pada tahun 2004 – 2014, yang merangkumi antara lainnya, penjelasan mandat GLC dalam konteks pembangunan negara dan meningkatkan tadbir urus korporat, mereka perlu sentiasa tangkas, terutamanya dari segi penambahbaikan yang berterusan dan pengukuhan peranan GLC/GLIC agar kekal berdaya saing.

"Ini penting dalam konteks norma baharu pasca Covid-19 serta landskap perniagaan global yang sentiasa berubah bagi memastikan GLC/GLIC boleh memberikan impak yang optimum dalam pembangunan sosioekonomi negara," katanya dalam satu wawancara sempena Hari Terbuka GLC 2022.

Hari Terbuka GLC 2022 yang berlangsung pada 11 hingga hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini menyaksikan penyertaan 25 GLIC/GLC.

Sehingga kini, GLC menguasai kira-kira RM445 bilion dalam permodalan pasaran atau sekitar 25 peratus dalam permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Ismail Sabri seterusnya berkata, program penyusunan semula fungsi dan peranan GLC dan GLIC yang semakin giat diusahakan sejak September lalu dapat memangkin perubahan melalui pembinaan semula ekonomi negara secara berperingkat.

Beliau menambah inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan semula peranan serta memperbaharui keupayaan GLC dan GLIC di Malaysia, terutamanya di dalam landskap pengoperasian yang sudah berubah dengan cepat susulan pandemik Covid-19.

"Inisiatif ini antara lainnya, menyasarkan penyusunan semula entiti di dalam ekosistem GLC/GLIC bagi mengoptimumkan sumber fiskal kerajaan, menambah baik sistem tadbir urus, meningkatkan hasil sasaran, menjana pertumbuhan baharu melalui sektor strategik dan memangkin pelaburan di dalam industri kelestarian.

"Satu keperluan yang semakin mendesak ekoran impak Covid-19 ialah penyusunan semula sistem keselamatan sosial," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan mahu penyelarasan dan kerjasama yang berterusan melalui platform Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC yang kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN).

"Memandang ke hadapan, saya fikir GDRN boleh menjadi sebuah rangkaian yang bukan sahaja bersifat responsif, tetapi juga menjadi lebih proaktif dalam menyediakan bantuan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan.

"Dari segi keberhasilan, ini semua akan mengurangkan pertindihan usaha yang dilaksanakan oleh GLC/GLIC secara persendirian dan meningkatkan kecekapan dalam mengguna pakai peruntukan sumber," katanya.

Tambah beliau, apabila ada sebuah platform yang menyelaraskan usaha ini, kerajaan juga boleh mengumpul data untuk memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tertinggal dari segi menerima bantuan dan membina kehidupan yang bermakna.

"Secara tidak langsung, ini juga akan mewujudkan ketelusan untuk program-program yang dijalankan oleh GLC/GLIC, di samping memastikan keberkesanan dalam hasil usaha impak sosial," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 6:39 PM