DERETAN kenderaan yang terjejas ekoran banjir kilat di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan. FOTO Bernama.
DERETAN kenderaan yang terjejas ekoran banjir kilat di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan. FOTO Bernama.
Ruwaida Md Zain


Klang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta orang ramai menangguhkan perjalanan masing-masing khususnya ke kawasan Lembah Klang ekoran kejadian banjir.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pada masa ini air di beberapa kawasan di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan Selangor sedang masih lagi naik.

Katanya, menerusi pemantauan berterusan yang dijalankan beberapa jalan utama dan jalan tertentu masih terputus susulan kenaikan paras air yang melimpah menyebabkan jalan tidak boleh dilalui.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan menangguhkan perjalanan khususnya di Lembah Klang memandangkan kita lihat ada beberapa kes yang mana mereka terperangkap sampai berbelas jam, makan dan minuman tidak ada dalam kereta.

"Mereka hendak bergerak pun tidak boleh, nak undurkan kenderaan pun tidak boleh, ke mana-mana pun tak boleh. Bawa anak, susu habis. Jadi kita tidak mahu keadaan seperti itu berlaku lagi.

"Saya nasihatkan, jika hendak merancang perjalanan, kenal pasti dahulu lokasi tertentu yang selamat dan tanya orang yang berada di kawasan persekitaran itu (kawasan yang ingin dituju itu)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Telok Gong yang dilawati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Dalam pada itu katanya, beliau menasihatkan semua anggotanya di seluruh negara agar menjaga keselamatan diri terutama sekali di dalam situasi bencana banjir di dalam pandemik Covid-19.

"Kita percaya banyak tempat yang memerlukan bantuan dan kita akan memberikan bantuan sebaik mungkin tetapi kita akan juga pastikan dari segi giliran kerja, kebajikan dan kesihatan dan keselamatan anggota diberi perhatian.

"Arahan ini sudah diberikan kepada semua pengarah bomba negeri terutama sekali tujuh negeri terbabit dengan banjir, antaranya Terengganu, Selangor.

"Saya juga minta untuk dibuat penggiliran dan kita sudah bekukan cuti di kawasan ini (negeri yang terbabit banjir)," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 27 anggota masih lagi dikuarantin kerana disahkan positif Covid-19.

"Pada masa sama, buat sementara ini, kita hentikan dulu tugas-tugas sanitasi. Kita fokus kepada pengurusan banjir kerana kita dapati ramai komuniti mengalami kesukaran untuk bergerak bagi mendapatkan bekalan dan bantuan di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:07 PM