DIDIKTV KPM saluran pembelajaran alternatif murid di rumah.
DIDIKTV KPM saluran pembelajaran alternatif murid di rumah.
Suliati Asri


SALURAN DidikTV KPM adalah langkah penambahbaikan dan inisiatif pembelajaran di rumah yang terbaik buat anak terutama dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

Ibu kepada empat anak, Wan Melissa Diyana Wan Normazlan, 36, berkata, belajar adalah satu keperluan bagai anak pada masa sekarang.

Menurutnya, sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mencari alternatif terbaik memastikan anak mendapatkan hak mereka terutama dalam pendidikan.

"Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan diikuti dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), ia sememangnya memberi sedikit kesukaran bukan saja kepada ibu bapa, tetapi anak-anak.

"Jadi, apabila DidikTV KPM ini diperkenalkan, ia memudahkan saya untuk memantau pembelajaran anak," katanya.

Menurutnya, DidikTV KPM ini sangat membantu pembelajaran anaknya di rumah selain boleh mengelakkan terlalu terdedah dengan gajet.

"Saluran ini adalah alternatif kerana anak sekarang banyak belajar secara dalam talian dan mereka berdepan dengan gajet.

"Walaupun televisyen pun adalah salah satu gajet, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh alihkan mereka dari komputer kepada televisyen. Pembelajaran menerusi saluran pendidikan ini juga lebih interaktif berbanding komputer," katanya.

Pelaksanaan PdPR juga memang membantu pembelajaran anak di rumah. Tetapi kata Wan Melissa, bukan setiap hari anak akan ada sesi pembelajaran bersemuka dalam talian.

"Dengan PdPR ini, ada masa tertentu saja akan ada sesi pembelajaran secara video dan kebiasaannya cikgu akan bagi kerja sekolah untuk disiapkan saja.

CARA dan kaedah pembelajaran guru menerusi DidikTV KPM mudah difahami murid.
CARA dan kaedah pembelajaran guru menerusi DidikTV KPM mudah difahami murid.

DIDIKTV KPM membantu anak-anak lebih faham mengenai sesuatu subjek.
DIDIKTV KPM membantu anak-anak lebih faham mengenai sesuatu subjek.

"Dengan adanya DidikTV KPM ini, ia membantu menyelesaikan masalah ini. Kalau kita tidak sempat membantu anak di rumah, saluran ini menjadi sumber rujukan," katanya.

Berkongsi bagaimana memastikan anaknya yang belajar di tahun empat dan tahun satu mengikuti pembelajaran di DidikTV KPM, Wan Melissa berkata, dirinya menggunakan sistem jadual belajar.

"Sejak dulu, saya menyediakan jadual pembelajaran anak. Kalau ada PdPR, saya pastikan mereka ikut jadual diberikan. Selesai PdPR, mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti yang tidak membabitkan gajet.

"Jadi, mereka sudah terbiasa dan boleh slot pengajaran di DidikTV KPM yang bersesuaian dengan mereka. Selain itu, saluran ini juga alternatif lain yang boleh menerangkan sesuatu subjek yang tidak difahami mereka," katanya.

Dengan keadaan pandemik yang belum berpenghujung ini, Wan Melissa menyeru ibu bapa menggalakkan anak mengikuti pembelajaran di saluran DidikTV KPM.

"Sepanjang anak mengikuti pembelajaran dengan DidikTV KPM ini, saya lihat mereka sangat seronok dan tidak bosan.

"Mereka juga boleh menceritakan kembali apa yang dipelajari, sekali gus menunjukkan mereka faham dengan apa yang dipelajari menerusi saluran pendidikan ini," katanya yang gembira dengan perkembangan anaknya itu.

Bagi Mohd Syafik Mohd Fuad, 35, tidak menafikan anak banyak bermain dan gajet sepanjang pandemik Covid-19 ini.

Justeru, dengan adanya saluran DidikTV KPM katanya, ia inisiatif pembelajaran di rumah yang membolehkan anak terus fokus kepada pelajaran.

"Secara peribadi, DidikTV KPM ini satu langkah penambahbaikan. Maksudnya, selain PdPR, ia menjadi inisiatif pembelajaran di rumah lebih mudah.

"Cikgu yang mengajar juga sangat berpengalaman selain memudahkan pemahaman anak kepada subjek diajarkan.

"Lebih menggembirakan saya, anak banyak bercerita dan bertanya mengenai sesuatu perkara yang mereka minati terutama mengenai haiwan dan banyak lagi," katanya.

Ditanya mengenai DidikTV KPM, kata Mohd Syafik, beliau sangat berpuas hati dengan konsep diketengahkan saluran pendidikan berkenaan.

SEBAGAI ibu bapa kita perlu sentiasa cari alternatif terbaik pastikan anak mendapatkan hak mereka terutama dalam pendidikan.
SEBAGAI ibu bapa kita perlu sentiasa cari alternatif terbaik pastikan anak mendapatkan hak mereka terutama dalam pendidikan.

"Pada saya, objektif saluran ini sampai kepada masyarakat. Guru yang mengajar juga berpengalaman selain idea dan cara mereka menyampaikan sangat menarik. Anak seronok.

"Tetapi, untuk penambahbaikan pada masa hadapan, saya berharap konsep diketengahkan terutama kepada murid tahun 1 akan lebih ceria.

"Pada usia tujuh hingga sembilan tahun ini, mereka masih sukakan sesuatu yang menyeronokkan, ceria dan bermuzik. Jadi, dengan konsep pendidikan dan hiburan, ia boleh menarik minat mereka lagi untuk fokus belajar," katanya.

Sementara itu, bagi Husra Bushra Mohd Syafik, 9, dirinya seronok mengikuti pembelajaran menerusi DidikTV KPM kerana subjek diajar mudah difahami.

Bukan itu saja, katanya dengan DidikTV KPM ini, dia dapat banyak pengetahuan.

"Saya suka belajar dengan DidikTV KPM ini kerana proses pembelajaran menjadi mudah.

"Walaupun cikgu yang mengajar tidak dikenali, tetapi cara mereka mengajar buatkan saya mudah faham. Cikgu juga akan terangkan betul-betul subjek yang diajar," katanya.

Ditanya mengenai subjek diminati, kata Husra menerusi DidikTV KPM ini dia meminati subjek pendidikan seni.

"Kalau subjek pendidikan seni, cikgu akan tunjukkan cara melukis serta mewarna dengan teliti. Nampak jelas bagaimana dia ajar dan mudah diikuti.

"Kalau masih tidak mahir, saya juga boleh ulang tonton di saluran YouTube. DidikTV KPM ini memang memudahkan pembelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 7:01 AM