TIGA nelayan yang terselamat selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan akibat terlanggar objek keras di 3.5 batu nautika barat Pantai Sanglang. FOTO Ihsan APMM
TIGA nelayan yang terselamat selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan akibat terlanggar objek keras di 3.5 batu nautika barat Pantai Sanglang. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Tiga nelayan terselamat selepas bot dinaiki karam akibat terlanggar objek keras di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pantai Sanglang, di sini, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima laporan pada 7.18 pagi selepas usaha awal mencari bot berkenaan oleh nelayan tempatan gagal.

Menurutnya, pihaknya kemudian menghantar sebuah bot ke lokasi dan mendapati ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh nelayan.

"Kesemua mangsa berusia 25 hingga 46 tahun dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai keluar ke laut menaiki bot nelayan tempatan kelas A pada 8 malam semalam, bagaimanapun bot mereka mengalami kebocoran dipercayai terlanggar kayu pada 4 pagi tadi.

Katanya, bot nelayan itu mulai tenggelam dan mangsa berusaha menyelamatkan diri.

"Ketika diselamatkan hanya seorang saja memakai jaket keselamatan, namun dua lagi mangsa terpaksa berpaut pada tong minyak. Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya keletihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 5:26 PM