NOOR Hisham Abdullah. FOTO Arkib Bernama.
NOOR Hisham Abdullah. FOTO Arkib Bernama.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di Dewan Rakyat, Khamis ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Akta 342 itu wajar dipinda memandangkan ia sudah berusia 32 tahun selain dilihat tidak sesuai dengan situasi semasa, khususnya ketika Malaysia masih berperang dengan Covid-19.

Menurutnya, pindaan berkenaan juga diharap dapat dibahas Ahli Parlimen sebelum diluluskan secepat mungkin bagi membolehkan KKM meneruskan kesinambungan penguatkuasaan dan kawalan penyakit berjangkit.

Katanya, pihaknya bimbang jika pindaan itu lewat diluluskan berikutan kewujudan varian membimbangkan Omicron.

"Beberapa aspek dalam Akta 342 ini akan dipinda termasuk kompaun dan penguatkuasaan serta kuasa Ketua Pengarah Kesihatan dan Menteri kerana ia dilihat tidak lagi sesuai kerana sudah berusia 32 tahun.

"Pindaan ini juga dibuat mengikut keadaan semasa untuk mengawal penyakit berjangkit khususnya Covid-19," katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Berjangkit, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Dr Noor Hisham berkata, kompaun RM1,000 yang dikenakan menerusi Akta 342 kini adalah sama kepada individu atau syarikat yang dikesan melakukan kesalahan sehingga menyebabkan penularan sesuatu penyakit.

Katanya, jumlah itu sudah lagi tidak relevan pada masa kini kerana ada syarikat yang dikesan mencetuskan kluster berulang kali namun masih kekal dikompaun dengan nilai sama.

"Menerusi pindaan Akta 342 ini, KKM akan mencadangkan perbezaan kompaun bagi individu dan syarikat atau pertubuhan.

"Ada syarikat yang mengaut jutaan ringgit masih melakukan kesalahan sama sehingga mencetuskan kluster serta memberi impak kepada masyarakat sekeliling.

"Mereka sudah pasti tidak mempunyai masalah untuk membayar kompaun RM1,000 jika Akta 342 sedia ada masih diteruskan tanpa pindaan," katanya.

Beliau berkata, jumlah kompaun yang akan dikenakan kelak akan diputuskan oleh Jawatankuasa Khas di Dewan Rakyat selepas mendapat persetujuan Ahli Parlimen dan KKM.

Katanya, pindaan Akta 342 ini bukan semata-mata untuk mengkompaun tetapi ia perlu dilihat sebagai mekanisme yang penting untuk mengawal penyakit khususnya Covid-19.

Tambahnya, selepas Ordinan Darurat diungkaikan di Dewan Rakyat pada 26 Oktober lalu, kompaun menerusi Akta 342 kembali dengan hanya RM1,000 bagi individu atau syarikat yang melakukan kesalahan.

"Pindaan ini adalah kesinambungan pindaan Akta 342 yang dikuatkuasakan ketika Ordinan Darurat dilaksanakan kerana ia berupaya memberi kesedaran dalam kesihatan awam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 6:52 PM