Norisah Bahrom, bersama suami, Abu Samah Borhan dan anak lelakinya, Adam Daniel, pada Majlis Konvokesyen UTM kali ke-64, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Norisah Bahrom, bersama suami, Abu Samah Borhan dan anak lelakinya, Adam Daniel, pada Majlis Konvokesyen UTM kali ke-64, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: "Kecacatan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan," kata bekas atlet Orang Kurang Upaya (OKU), Norisah Bahrom yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, hari ini.

Norisah, 46, yang pernah mewakili negara dalam acara tenis menempuh liku selama tujuh tahun bagi menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan perisian.

"Saya mula mengalami kesukaran untuk berjalan ketika berusia 15 tahun sebelum disahkan menghidap kecacatan saraf tunjang, sehingga pernah berulang kali meluahkan tidak mahu ke sekolah untuk tamatkan pelajaran.

"Tidak dinafikan perasaan malu dan rendah diri menebal dalam diri. Saya mencari kekuatan baharu dengan memotivasikan diri keluar dari kampung di Muar, Johor dan berhijrah memasuki Pusat Pemulihan Orang

Cacat, Cheras, Kuala Lumpur.

"Saya membabitkan diri dalam sukan dan menyambung pengajian sehingga peringkat tinggi. Antara pencapaian yang saya peroleh ketika pengajian adalah memenangi tempat keempat beregu dalam Sukan Para Asia Incheon, Korea pada Kejohanan Sukan Fespic/Asia 2014, selain memenangi johan beregu Malaysia Open 2016," katanya ketika ditemui hari ini.

Norisah yang mendapat sokongan suaminya, Abu Samah Borhan, 36, yang juga atlet Tenis Berkerusi Roda negara ingin menjadi contoh kepada anak lelaki tunggal mereka, Adam Daniel, 10.

Dia memberitahu belum merancang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi namun, mengakui ilmu penting untuk menaik taraf golongan OKU, sekali gus dapat mengubah stigma masyarakat terhadap mereka

Konvokesyen UTM menyaksikan 8,956 graduan menerima sijil masing-masing iaitu 748 orang bagi Ijazah Doktor Falsafah; 1,915 (Ijazah Sarjana); 4,326 (Ijazah Sarjana Muda); 4 (Ijazah Anumerta); 719 (Diploma Sepenuh Masa) dan 1,248 (Diploma Program Kerjasama UTMSPACE).

Daripada jumlah itu, 812 orang adalah graduan antarabangsa dari 54 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 6:18 PM