ACRYL Sani. FOTO Arkib NSTP
ACRYL Sani. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memperoleh notis Merah terhadap ahli perniagaan dalam buruan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan Low Taek Jho atau Jho Low daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ada dua kategori notis merah yang dikeluarkan Interpol, iaitu kategori boleh dipaparkan untuk makluman awam dan satu kategori lagi dihadkan akses kepada agensi penguat kuasa sahaja.

"Notis merah Jho Low dikeluarkan pada 11 Jun 2018 manakala notis bagi Nicky Liow pada 20 April tahun ini.

"Ibu pejabat Interpol adalah pihak yang akan menentukan sama ada notis dikeluarkan bagi paparan umum atau tatapan agensi penguat kuasa sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua notis merah yang dikeluarkan ke atas Jho Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi penguat kuasa sahaja.

"PDRM kekal komited dalam usaha memastikan kedua-dua penama berkenaan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 12:19 AM