Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Notis Merah terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan Low Taek Jho atau Jho Low masih belum dipaparkan dalam sistem Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, permohonan sudah dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun, nama Nicky dan Jho Low masih belum dimasukkan ke dalam Notis Merah.

Menurutnya, beberapa prosedur perlu dipatuhi bagi membolehkan nama seseorang itu dimasukkan tersenarai dalam Notis Merah.

"Masih tidak jelas mengapa nama mereka masih belum dimasukkan ke dalam Notis Merah oleh Interpol.

"Beberapa prosedur perlu dipatuhi bagi membolehkan nama dimasukkan ke dalam senarai Notis Merah Interpol.

"Saya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu daripada Interpol," katanya dalam sidang media di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Nama seseorang boleh dimasukkan ke dalam Notis Merah apabila mereka menjadi individu dikehendaki sesebuah negara atas sebab pendakwaan atau menjalani hukuman berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah.

ACRYL Sani pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ACRYL Sani pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Notis Biru merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat mengenai orang yang menjadi perhatian.

Pejabat Media Interpol sebelum ini dilapor berkata, pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh diajukan kepada pihak berkuasa Malaysia.

Pada 15 April lalu, PDRM dilapor memohon supaya nama Nicky Liow berada dalam senarai Notis Merah Interpol.

Nicky, 33, yang dikehendaki polis dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi terhadapnya kerana terbabit dalam Macau Scam.

Dalam 70 serbuan Ops Pelican 3.0 di sekitar Lembah Klang dari 20 hingga 28 Mac lalu, 118 individu diperiksa dan 68 ditahan, manakala wang tunai lebih RM770,000 dirampas.

Jho Low pula menjadi buruan sejak beberapa tahun lalu kerana terbabit dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 4:12 PM