KAFE AHAD

Perwatakannya dilihat garang namun cukup trending dalam kalangan netizen yang suka beliau mengetuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor.

Mula menyertai PDRM pada 31 Disember 1991, beliau berpengalaman luas terutama di Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dan pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8).

Ikuti wawancara Ketua Polis Johor DATUK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY bersama wartawan, AMIR ABD HAMID, MUHAAMAD HAFIZ NAWAWI, jurugambar, ASWADI ALIAS dan jurukamera, KHAIRUS RAMLI berkaitan tugas dan cabaran diharunginya.

Tegas hinggakan urusan kertas siasatan (IP) jadi perhatian.

Saya ada keluarkan kenyataan pada 30 Januari lalu menegur Ketua Polis Daerah (KPD), Pegawai Penyiasat Kanan (SIO), Pegawai Penyiasat (IO) dan Penolong Pegawai Penyiasat (AIO).

Saya minta Datuk Khaw Kok Chin (Timbalan Ketua Polis Johor) untuk semak setiap IP di daerah secara rawak.

Apabila saya periksa IP itu, saya dapati isu penyeliaan IP memang sudah serius.

Selepas dapatkan maklum balas, saya dapat tahu beban kerja, prestasi mereka serta kelemahan perlu diperbaiki.

Ada yang dapat arahan tuduh, tetapi tidak dituduh. Ada yang dapat laporan daripada Jabatan Kimia seperti kes dadah namun tidak dituduh di mahkamah.

Ada yang suspek sudah dikenal pasti tetapi tidak ditangkap, tidak dikeluarkan waran tangkap.

Ini susulan kurangnya penyeliaan peringkat Ketua Bahagian dan SIO.

Ada dakwaan menyatakan saya tiada pengalaman dan tidak tahu beban tugas IO. Saya menyertai polis pada Disember 1991.

Skuad kadet Disember 1991 ini unik. Kami ditempatkan hampir setahun di sekitar Lembah Klang untuk buat tugas IO.

Selepas sembilan bulan sepatutnya saya kekal dalam (unit) jenayah, tetapi ditukar ke Cawangan Khas pada Julai 1993.

Ada yang kata, Datuk Ayob daripada pangkat Asisten Superintendan sampai Deputi Komisioner di Bukit Aman...dia tahu apa?

Saya ada asas siasatan jenayah. Apapun, alasan diberi itu semua alasan pernah saya dengar 30 tahun dahulu waktu saya mula masuk polis.

Itu semua alasan basi. Dahulu pakai mesin taip, kertas karbon berlapis-lapis dan adakalanya tembus.

Bukan macam sekarang boleh salin tampal di komputer. Tahun 1990-an bolehlah mengatakan kertas tidak cukup, seorang IO buka sehingga 10 ke 15 IP sehari.

Semakan dibuat contohnya, daerah paling sibuk iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS). Dalam konteks jenayah, SIO ada enam, IO 18 dan AIO 28.

Mereka bertugas ikut syif. Mereka kata buka hingga 30 IP sehari.

Namun sebenarnya purata IP dibuka SIO satu sahaja sebulan dan seorang IO pula maksimum lima hingga enam IP.

Itu sebulan, bukan sehari. Jadi, di mana yang mengatakan IO itu sehari buka 20 IP? Sebulan lima IP takkan tidak boleh diselia?

Apa yang SIO buat yang ada enam orang? AIO pun buka tiga IP sahaja sebulan. Itu baru saya tengok JBS dan IP jenayah.

Saya belum tengok lagi berapa laporan polis dibuat. Laporan polis untuk JBS tahun lalu ialah 7,835 tetapi yang buka IP hanya 3,698 sahaja.

Bakinya mungkin tiada kes atau pun underclassified. Saya tahu menyelia. Semak betul-betul.

Baru-baru ini, saya ada mesyuarat dengan Pengarah Jabatan Kimia Johor, ada isu dadah. Habis mesyuarat dia kata, 'Datuk boleh saya minta tolong.' Saya kata ada apa puan?

Dia kata, 'Selepas Datuk keluarkan kenyataan 30 Januari lalu yang kata Datuk nak periksa penyeliaan IP, saya dapat banyak permohonan baharu bagi kes lama untuk laporan kimia.'

Ini bermakna sebelum ini mereka tidak hantar. Apabila saya keluarkan kenyataan nak periksa, kelam-kabut mereka nak hantar (permohonan laporan kimia).

Sebelum itu mereka buat apa? Tidurlah dalam bahasa kasarnya. Jadi di mana penyeliaan. Ketua Bahagian Narkotik di situ tak selia. SIO dia tak selia. KPD pun tak ambil pusing. Itulah faktanya. Ini di kontinjen Johor.

Kebelakangan ini, tindakan polis Johor diperkatakan dan dipertikai pihak tertentu. Antaranya kes empat penjenayah warga asing ditembak mati.

Pertama, kita bekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam isu melepaskan tembakan itu, saya tak tahulah NGO dinamakan Eliminating Death and Abuse In Custody Together (EDICT) ini dengar atau baca kenyataan saya keluarkan.

Jika tak baca, pergi ke Facebook (FB) Polis Johor, ada kenyataan bertulis saya. Dengar apa yang saya cakap dalam sidang media.

Jelas saya kata kita terpaksa melepaskan tembakan selepas mereka lepaskan tembakan dahulu. Kita (polis) diserang dengan parang dan kerambit menyebabkan kecederaan di pihak kita.

Dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D222 jelas menyatakan, polis ada hak mempertahankan diri dalam operasi atau membuat tangkapan jika ada ancaman ke atas nyawa dan mendatangkan kecederaan parah, jadi kita boleh lepaskan tembakan.

Hampir keseluruhan karier Datuk dihabiskan dalam bidang Counter Terrorism.

Inilah yang biasa dialami pegawai Special Branch (SB) apabila ditukarkan menjadi KPD, Ketua Polis negeri atau pengarah bahagian lain, ramai kata tak boleh.

Ramai anggap SB hanya pandai kumpul risikan dan buat laporan. SB unik, ada semua elemen. Memang kita kumpul risikan kemudian buat operasi. Tetapi operasinya sulit. Kita tidak ke hadapan.

Berapa banyak SB bantu termasuk pada zaman komunis. Elemen SB menyusup dalam komunis, dapatkan maklumat kemudian beri kepada tentera dan Pasukan Polis Hutan (sekarang Pasukan Gerakan Am) lalu buat operasi.

Jangan kata pegawai SB tak pernah buat tangkapan. Dahulu kita buat tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walaupun tak dibawa ke mahkamah, tetapi formatnya sama. Kita kena ada bukti dan pertuduhan.

Karier saya 80 peratus dalam SB. Saya masuk SB pada Julai 1993 hingga saya keluar 2009 ke Task Force Counter Terrorism dengan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Kemudian, 2014 saya jawat jawatan Ketua Penolong Pengarah E8, saya beruntung sebab ketua dan pucuk pimpinan gilap saya mempunyai 'kepala operasi'.

Mereka bukan setakat kumpul perisikan. Seorang daripadanya, Datuk Yusof Rahman, bekas Pengarah Cawangan Khas. Saya bekerja di bawah beliau. Ketika saya masuk 1993, jawatan saya dipanggil pegawai meja atau Desk Officer Counter Terrorism.

Operasi pertama saya buat di bawah beliau adalah tangkapan Wali Khan Amin Shah. Ini yang terbabit dalam serangan pertama ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York, Amerika Syarikat pada 26 Februari 1993.

Sebelum ditahan di Langkawi, Kedah pada 11 Disember 1995, dia bersembunyi di Manila, Filipina.

Dia ditangkap, diekstradisi ke AS dan dipenjarakan. Itu tangkapan paling besar.

Alhamdulillah. Saya satu-satunya pegawai mengendalikan dua kes WTC.

Kes yang kedua pun saya terbabit dalam siasatan berkaitan 9/11 atau serangan 11 September 2001 terhadap WTC.

Waktu itu pangkat saya Deputi Superintendan (DSP) dan jawatan dipanggil sebagai Case Officer.

Komplot pengganas masuk ke sini Disember 1999 iaitu Khalid al-Mihdhar, Nawaf al-Hazmi dan dua tiga orang lagi.

Saya kembangkan siasatan, mereka keluar Januari 2000, kita kongsi dengan pihak perisikan AS, Biro Siasatan Persekutuan (FBI)...yang lain sudah menjadi sejarah.

Apabila kita tangkap Jemaah Islamiah, kita berkolaborasi dengan pihak Indonesia. Kita kongsi. Tan Sri Hamid adalah ketua yang menyelaraskan operasi pertukaran perisikan.

SB Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam semua segi. Bukan saya nak masuk bakul angkat sendiri. Ada kelapangan, bacalah buku The Looming Tower yang ditulis Lawrence Wright, ada cerita terperinci maklumat yang kita kongsi dapat membantu.

Satu lagi buku Black Banner ditulis Ali Soufan iaitu ejen FBI.

Kepakaran kita, cara kita buat siasatan profesional, kita kumpul perisikan dan kongsi dengan mereka, penyelarasan yang kita buat. Saya terbabit semua itu, cuma tak didedahkan di luar. Nanti saya akan tulis buku jika mendapat kebenaran Tan Sri KPN (Ketua Polis Negara).

Kita nak uar-uarkan kejayaan. SB ini man behind the scene, tak ke hadapan.

Datuk beri penekanan kepada aspek integriti dan isu rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota, malah tindakan diambil dikongsi dengan masyarakat. Datuk cari populariti?

Kalau kita masih di awang-awangan atau masih dalam kepompong lama, masih anggap kita di tahun 1990-an dan kita tak anggap kita di tahun 2021, maka kita akan jadi tidak relevan.

Sekarang, orang awam adu kepada saya bersama bukti lengkap seperti video, lokasi, nombor telefon dan nombor kenderaan.

Contoh, Datuk ada anggota MPV jual ketum, ada anggota MPV kutip duit daripada tauke judi...maklumat diberi lengkap. Adakah kita nak katakan itu satu tohmahan?

Mungkin. Tetapi kita buat ke siasatan? Sebab itu kita kena buat siasatan. Bagi saya isu mengatakan saya buka pekung di dada, cari publisiti, itu saya tak perlu buat.

Kita nak sembunyikan, tak boleh sembunyikan di zaman ini. Saya tidak mahu perincikan namun saya dapat maklumat secara terperinci berapa kutipan dibuat pegawai tertentu. Jadi kita nak kata tak betul? Kena siasatlah.

Ramai kata Datuk jaga Johor macam Superman.

Saya bukan Superman. Saya pegawai biasa. Tetapi mungkin apa yang membezakan saya ialah saya ada komitmen tinggi.

Saya sudah tetapkan minda dan saya tegas. Saya takkan terima alasan remeh. Perkara yang saya minta buat bukan perkara mustahil. Bukan saya minta kamu jalan guna kepala. Kamu tulis guna kaki.

Tak ada benda Superman pun yang saya buat di Johor cuma ketegasan. Bab integriti, penyeliaan, persekongkolan dengannya, tatatertib itu saya tidak tolak ansur.

Datuk suka gempur sana serbu sini, tak bimbang pada ancaman?

Memang banyak maklumat atau maklum balas saya dapat. Malah sejak saya ke Johor, ramai bos lama saya yang mana kenal saya beri nasihat.

Datuk..hati-hati, Datuk keras sangat, kendur sikit, Datuk jangan makan kedai sama, macam zaman komunis dahulu pergi balik kerja jangan ikut jalan sama...memang mereka ambil berat.

Malah, rakan dalam kalangan tok guru dan ustaz pun beri nasihat dan doa. Mereka bimbang sebab mereka kata saya ini keras. Saya tak pernah masuk gear reverse. Saya pula cakap terbuka, bukan cakap berlapik.

Unsur ancaman itu ada tetapi yang paling penting, kita kerja ikhlas, buat kerja betul, ikut SOP.

Jika ditakdirkan wahai Datuk Ayob, kamu akan mati jam 11.55 pagi ketika ditemu bual Metro Ahad kerana sakit jantung, saya akan matilah. Semua orang akan mati. Tetapi bila kita akan mati, di mana kita akan mati, cara mana kita akan mati, itulah yang membezakan.

Datuk kerap adakan sidang media kejayaan PDRM Kontinjen Johor. Bagaimana hubungan dengan anggota dan pegawai yang laksanakan arahan Datuk?

Apabila saya pindah ke Johor, antara tempat utama saya beri penumpuan adalah unit media PDRM kontinjen Johor.

Saya dapatkan peruntukan khas naik taraf kelengkapan peralatan mereka. Bilik media yang nampak daif, ditambah baik.

Gambar dan video berkualiti dengan beberapa penambahbaikan. Bukan sahaja unit media, lain-lain seperti narkotik juga saya perkemaskan, cawangan siasatan jenayah juga begitu dengan kemampuan yang saya ada.

Alhamdulillah. Saya rasa rasa tidak puas hati mungkin ada tetapi tak sampai kepada saya. Majoriti setahu saya, mereka berpuas hati. Rentak saya mereka kata seronok.

Perwatakan Datuk nampak garang, mudah ke didekati?

Saya paling mudah, jika tidak kenal, ada yang akan kata Datuk Ayob garang.

Sampai sekarang ada lagi pegawai yang pernah bertugas di Johor hubungi pembantu saya tanya Datuk Ayob macam mana? Okay ke Datuk Ayob.

Datuk Ayob nak ke Johor semua takut. Bukan saya cakap. Pengarah SPRM Johor dulu, Datuk Nor Azlan (sudah bertukar).

Kata Nor Azlan, sindiket dengar nama Datuk, sindiket tarik handbrake.

Tetapi apabila datang bab kerja, saya akan serius. Cara saya, ikut keadaan.

Netizen kerap mahu gandingkan Datuk dengan KPD Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal untuk menerajui PDRM.

Alhamdulillah orang doakan. Bagi saya tidak kiralah Nik Ezanee ke, Nik Syahimi ke, Nik Amir ke, siapa pun bagi saya ialah saya mengiktiraf orang yang buat kerja.

Pegawai dan anggota yang buat kerja, yang ada komitmen.

Contoh, di Johor ada 10 kekosongan Superintendan nak diisi. Jika tanya saya, lapan daripadanya saya akan bagi kepada pegawai yang berpotensi oleh kerana rajin dan komited. Dua saya bagi kepada orang yang sudah nak pencen.

Tetapi kalau lapan kita bagi kepada orang yang nak pencen semata-mata senior tetapi malas buat kerja, ia merosakkan organisasi.

Itu bagi sayalah, mungkin orang tidak bersetuju. Ada tempat sesuai untuk orang yang senior. Dah nak pencen mungkin tempat tak berapa penting sangat.

Tetapi kalau berikan KPD kepada yang dah nak pencen, kamu harap dia nak buat apa di daerahnya.

Berbalik kepada Nik Ezanee, dia antara pegawai muda yang patut diberikan laluan pantas dan pintas untuk naik ke atas.

Orang macam ini kita kena groom cepat. Bagi peluang naik pangkat. Saya sendiri hanya ada lima tahun lagi, bukan lama.

Kita nilai orang daripada segi kerja mereka. Dia muda, tetapi dia bagus. Dia muda tetapi dia ada integriti. Dia muda dia ada pengalaman. Dia muda dia tegas. Ini yang kita kena tarik naik.

Boleh bergandingan dengan junior yang jauh daripada segi pengalaman?

Tiada masalah. Sebab itu orang pelik dengan saya. Inspektor, malah anggota pun datang pejabat saya.

Mereka ada idea. Bagi saya, saya boleh bekerja dengan siapa pun, yang lebih senior dari saya pun boleh juga.

Saya juga nilai orang bukan disebabkan kaum atau agama. Semasa saya di E8, saya turut dibantu pegawai Cina dan India selain Melayu. Jika seseorang itu kerja bagus, jadi kita kena kata bagus. Kita nilai ikut kemampuan mereka, tiada masalah.

Datuk sibuk dengan kerja, bilakah masa bersama keluarga?

Majoriti pegawai dan anggota, keluarga memang mengadu kurang masa bersama.

Isteri saya juga polis, adakalanya mengadu kurang masa bersama juga. Itu biasa.

Adakalanya cuti pun datang ke pejabat. Contoh, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad, cuti dua hari, tetapi dia kata tak boleh duduk rumah.

Macam saya, Sabtu dan Ahad pergi pejabat. Orang kata kita kena work smart. Orang cakap Datuk Ayob bukan work smart, dia work hard.

Kena ada kedua-dua elemen ini.

Kerja keras daripada pagi hingga awal pagi. Apa formula Datuk jaga kesihatan?

Saya punya makanan senang sahaja. Tengah hari saya mesti makan nasi, itu wajib.

Pagi saya mesti sarapan. Sarapan saya mudah, bijirin dan susu pun okay jika hari bekerja.

Jumaat dan Sabtu cuti (di Johor), saya akan makan roti canai dengan teh tarik.

Malam, saya cuba elak nasi. Adakalanya saya makan capati, salad, mi goreng, tetapi jangan makan berlebihan.

Senaman juga kena ada. Saya hanya joging. Adakala pergi mendaki atau pun berbasikal di rumah.

Saya juga ada ambil makanan tambahan seperti minyak ikan. Tetapi tak adalah terlalu ketat nak jaga badan.

Temubual eksklusif bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Temubual eksklusif bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan umpama jenama bagi PDRM dalam hal cegah jenayah dan bantu masyarakat.

Saya bukan jenama. Ramai ketua polis negeri lain memainkan banyak peranan cuma mungkin promosinya kurang.

Mereka mungkin beranggapan, tak payahlah. Bagi saya, bukan nak mempromosi diri tetapi kita nak berkongsi dengan masyarakat apa yang kita buat.

Jenama bukan saya. Jangan letak saya seperti saya sudah letakkan satu penanda aras...apa-apa pun semua Datuk Ayob.

Banyak juga saya terima aduan dari daerah di negeri lain, saya kata saya di Johor. Kamu kena jumpalah KPD atau buat aduan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Sebab apa? Sebabnya mungkin saya ke hadapan. Saya buktikan apa yang saya buat adalah apa yang saya cakap.

Banyak berkongsi dengan masyarakat. Barulah orang faham apa masalah kita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 11:00 AM