DOKTOR lantikan kontrak berhimpun selama 10 minit sebagai tanda tunjuk perasaan di HSNZ. FOTO Ghazali Kori
DOKTOR lantikan kontrak berhimpun selama 10 minit sebagai tanda tunjuk perasaan di HSNZ. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Perhimpunan secara aman oleh kumpulan doktor kontrak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, tidak menjejaskan tugas hakiki terutama dalam menangani kes Covid-19 di hospital berkenaan.

Himpunan dihadiri kira-kira 20 orang mewakili lebih 200 doktor kontrak itu dilakukan selama kira-kira 10 minit di perkarangan hospital berkenaan yang turut dikawal anggota polis.

Tidak ada provokasi dilakukan menerusi hartal itu yang boleh mencetuskan berlaku keadaan lebih buruk selain dilakukan dalam suasana mematuhi prosedur ooerasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Tinjauan NSTP di perkarangan hospital berkenaan mendapati kumpulan doktor terbabit bergerak keluar dari bangunan hospital pada 11 pagi dan masuk semula untuk meneruskan tugas hakiki mereka selepas kira-kira 10 minit berhimpun di perkarangan pintu masuk hospital tanpa mengganggu lalu lalu lintas dan diadakan secara aman.

"Hartal ini dilakukan bukan bertujuan mengadakan mogok sebaliknya bertujuan mencari jalan damai selain berharap pihak berwajib memikirkan masalah yang dihadapi kumpulan doktor kontrak," kata Dr Amirah yang bertindak sebagai jurucakap mewakili lebih 200 doktor kontrak di hospital berkenaan, hari ini.

Dia yang sudah lima tahun berkhidmat di hospital itu berkata, mereka tidak tahu kenapa sehingga kini mereka belum ditawarkan ke jawatan tetap sedangkan ada antara mereka yang sudah berkhidmat secara kontrak lebih lima tahun.

"Kami perlukan jawatan tetap dan bukannya kontrak secara berterusan.

"Kami juga mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan apakah kriteria yang diperlukan bagi membolehkan mereka diserapkan ke jawatan tetap.

"Hartal ini dilakukan bukannya tanda kami mogok atau protes kerana setiap daripada kami akan kembali menyambung tugas hakiki masing-masing selepas ini (hartal) tetapi kami hanya mahukan pihak berwajib memikirkan masalah yang kami hadapi.... itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas mengetuai program berkenaan.

Sementara itu Pengarah HSNZ, Dr Mohd Salleh berkata, pihaknya tidak melarang perhimpunan yang diadakan kumpulan doktor berkenaan dan sudah berbincang dengan semua jabatan di hospital tentang perkaran itu.

"Kita sudah dimaklumkan mengenai perhimpunan ini semalam dan semua jabatan tidak menghalang tetapi mengharapkan ia dilakukan secara aman dan tidak menjejaskan sistem kesihatan hospital," katanya ketika ditemui selepas program.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 3:33 PM