ORANG ramai beratur  untuk  membayar saman.
ORANG ramai beratur untuk membayar saman.
Nur Saliawati Salberi


MELAKA: Lebih RM1.3 juta bayaran saman dikutip polis Kontinjen Melaka dalam tempoh dua hari sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, di Dataran Pahlawan, Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, tawaran itu dibuat bagi membantu pesalah trafik menjelaskan saman tertunggak.

“Dalam tempoh dua hari, 11,114 saman dilunaskan pesalah trafik.

“Daripada jumlah itu, kami mengutip bayaran saman RM1,388,110,” katanya di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis Melaka menawarkan potongan sehingga 50 peratus merangkumi pelbagai jenis saman trafik yang layak mendapat pengurangan.

Hasan Basri berkata, kategori saman membabitkan kesalahan dikeluarkan secara berhadapan kepada pemandu atau pemilik (Pol 257) merekodkan jumlah tertinggi dengan RM819,190, berbanding saman Pol 170A iaitu kesalahan seperti had laju atau halangan lalu lintas hanya RM568, 920.

“Tawaran diskaun 50 peratus ini menerima sambutan menggalakkan dan inisiatif ini secara tidak langsung membantu pesalah trafik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:40 AM