ANTARA warga Singapura yang ditahan bagi menjelaskan saman tertunggak di Johor Bahru, semalam. FOTO Mohd Sabran Md Sani
ANTARA warga Singapura yang ditahan bagi menjelaskan saman tertunggak di Johor Bahru, semalam. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI warga Singapura tiada pilihan lain selain terpaksa menjelaskan 116 saman tertunggak bernilai RM28,000 ketika ditahan dalam Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing Ke-X (OSTWA 10) di Johor Bahru, petang semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, lelaki berusia 60an itu ditahan ketika memandu kenderaannya di Muzium Tokoh, Jalan Lingkaran Dalam pada 4 petang.

“Terdapat satu kes menarik semalam. Kita dapat kesan sebuah kenderaan yang mempunyai 116 saman.

“Dia membayar semua saman itu berjumlah RM28,000,” katanya pada sidang media sempena OSTWA di Muzium Tokoh, Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, dalam operasi tiga hari bermula Jumaat lalu, sebanyak RM611,000 bayaran saman berjaya diperoleh sehingga 10 pagi ini membabitkan dua lokasi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah dan Muzium Tokoh, Jalan Lingkaran Dalam di sini.

Urusan berterusan yang dilaksanakan bersama 116 petugas membabitkan anggota Trafik Bukit Aman dan Trafik Johor Bahru bagi mengesan pesalah trafik warga Singapura yang memiliki saman tertunggak sejak tahun 2000.

Mohd Nadzri berkata, lelaki terbabit antara 3,000 saman warga Singapura yang berjaya dikesan dalam operasi tiga hari di lokasi strategik di pintu keluar negara ini.

“Sepanjang dua hari operasi dijalankan (sehingga 10 pagi), sebanyak 3,174 saman diselesaikan dan sebanyak 198 saman baharu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Secara keseluruhan sebanyak 24,278 saman dikeluarkan kepada warga Singapura sejak tahun 2000,” katanya.

Katanya, jumlah berkenaan dianggarkan jutaan ringgit dan operasi secara berterusan dilaksanakan bagi menjejaki pesalah-pesalah ini.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kutipan RM750,000 dapat diperoleh sehingga 12 tengah malam ini.

Katanya, warga Singapura perlu menyemak dan membuat bayaran saman trafik dan JPJ di lokasi ditetapkan.

Menurut Mohd Nadzri, sebaik pelaksanaan sistem permit masuk kenderaan (VEP) dilaksanakan bermula 1 Oktober ini, pesalah trafik Singapura yang disaman termasuk mempunyai saman tertunggak wajib menjelaskan bayaran saman berkenaan.

“Operasi ini sebagai satu daripada langkah persediaan kepada warga Singapura untuk menyelesaikan semua saman tertunggak mereka sebelum pelaksanaan VEP.

“Kita percaya dalam proses awal dilaksanakan, ia (sistem VEP) sedang dikemaskini kerana membabitkan sistem JPJ dan PRDM yang berbeza,” katanya.

Kata Mohd Nadzri, beliau percaya, bila dilaksanakan VEP, mana-mana kenderaan mempunyai saman perlu membayarnya terlebih dulu.

“Mereka perlu berbuat demikian sebelum dibenarkan pulang semula ke republik berkenaan dan perlaksaan itu dijangka akan dapat mengutip lebih banyak saman-saman tertunggak.

“Peringkat awal ini (OSTWA 10) memberi gambaran kita sudah memulakan prosesnya (proses VEP),” katanya.

Katanya, pesalah-pesalah trafik Singapura boleh menyemak dan melakukan bayaran di Balai Polis Trafik Johor Bahru.

“Mereka juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negara mereka sendiri melalui 900 mesin AXN.

“Semakan dan pembayaran juga boleh dibuat menerusi Kaunter Trafik COPS di seluruh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) yang menerima bayaran tunai, kad debit, kad kredit, draf bank dan wang pos,” katanya.

Selain itu, ia boleh disemak melalui portal myeg.com.my dan rilek.com.my atau menerusi pejabat pos dan ATM Maybank.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 12:41 PM