Ruwaida Md Zain

Klang: Seorang lelaki warga emas yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid, maut apabila dipercayai ditikam dua lelaki berhampiran pintu pagar kediamannya.

Dalam kejadian jam 12.38 tengah hari tadi, mangsa, berusia 69 tahun ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan rumahnya di Kampung Idaman di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua suspek yang menikam mangsa berumur 33 tahun bagaimanapun berjaya diberkas di dua lokasi berasingan sekitar Klang dan Shah Alam.

"Susulan penangkapan kedua-dua suspek itu, kes bunuh berkenaan berjaya diselesaikan hanya dalam masa kira-kira empat jam.

"Siasatan mendapati, suspek utama dalam kes ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.

"Senjata yang digunakan suspek untuk menikam si mati juga berjaya ditemui," katanya tadi.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian tikam membabitkan mangsa warga emas terbabit.

SEORANG warga emas maut ditikam individu dikenali di hadapan rumah ketika hendak keluar solat Jumaat tular di media sosial. FOTO Ihsan pembaca
SEORANG warga emas maut ditikam individu dikenali di hadapan rumah ketika hendak keluar solat Jumaat tular di media sosial. FOTO Ihsan pembaca

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang berada di lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa secara tiba-tiba ditikam seorang lelaki yang berlari dan meluru ke arah mangsa menyebabkan mangsa rebah

"Siasatan juga mendapati suspek mengenali mangsa terbabit. Siasatan diteruskan untuk mengenalpasti motif kejadian," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua tangkapan akan dilakukan di Mahkamah Klang esok.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki warga emas tidak sempat ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat apabila ditikam lelaki dikenali secara tiba-tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 7:40 PM