FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Kulai: Seorang lelaki warga emas maut ditikam dengan pisau dalam pergaduhan di sebuah inap desa di Jalan Pinang, Taman Kota Kulai, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.55 petang dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa berusia 78 tahun terbaring dengan beberapa kesan kecederaan.

"Pemeriksaan awal pada tubuh badan si mati mendapati kesan tikaman di bahagian perut.

"Hasil siasatan mendapati suspek iaitu seorang lelaki mengamuk dan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau. Punca kejadian masih disiasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Tok, pihaknya menahan suspek berusia 35 tahun serta merampas sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Katanya, suspek ditahan di kaki lima kedai berdekatan kawasan kejadian pada 4.15 petang hari sama.

"Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Turut dirampas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di inap desa itu bagi membantu siasatan dan suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

"Suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 14 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:47 PM