DATUK Mior Faridalathrash Wahid. FOTO Balqis Jazimah Zahari
DATUK Mior Faridalathrash Wahid. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Polis mencadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara supaya mendakwa penganjur perarakan atau waris mendiang membabitkan kematian individu di Little India, Ipoh, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil siasatan mendapati perarakan itu tiada sebarang kebenaran pihak berkuasa sama ada daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak.

"Polis sudah melengkapkan siasatan dan kita akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk waris atau mendiang dikenakan kompaun mengikut Akta 342 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4," katanya.

Beliau berkata demikian bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung siasatan perarakan pengebumian menggunakan helikopter di Little India, Ipoh, baru-baru ini.

Terdahulu, beliau hadir menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim kepada Superintendan Mohamad Nazri Daud di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, polis juga mencadangkan satu lagi kesalahan berhubung kes terbabit.

"Mungkin kita boleh cadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diberi saman kesalahan trafik terhadap penunggang kuda kerana menunggang kuda di jalan raya tanpa kebenaran," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, polis sudah memanggil tujuh individu untuk dirakam percakapan berhubung perarakan pengebumian yang melanggar SOP PPN Fasa 4 itu.

Mereka yang dipanggil membabitkan pengurus mayat, waris, juruterbang, pengurus syarikat acara, pemilik helikopter dan wakil daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pemilik kuda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 3:27 PM