MIOR Faridalathrash Wahid hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu antara Superintendan Hasron Nazri Hashim kepada Superintendan Mohamad Nazri Daud di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
MIOR Faridalathrash Wahid hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu antara Superintendan Hasron Nazri Hashim kepada Superintendan Mohamad Nazri Daud di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Polis menjalankan siasatan kesahihan video tular di media sosial baru-baru ini memaparkan kejadian buli pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah mengambil maklum perkara berkenaan dan menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular terbabit.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob untuk menjalankan siasatan bila kejadian buli ini berlaku kerana kadang-kadang kejadian berlaku lama tetapi di tularkan semula.

"Kalau ikutkan pada video itu memang nampak kejadian buli dengan tumbuk perut mangsa, jadi polis akan menjalankan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu antara Superintendan Hasron Nazri Hashim kepada Superintendan Mohamad Nazri Daud di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.

"Berdasarkan ruangan komen warganet, kejadian dikatakan berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, tetapi kita belum dapat memastikan sama ada betul atau tidak kejadian itu berlaku di Kuala Kangsar atau di tempat lain.

"Biar polis menjalankan siasatan dahulu tentang kesahihan perkara berlaku di mana," katanya.

Terdahulu tular sebuah video di media sosial yang memaparkan tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar di sebuah asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain beramai-ramai.

Menerusi beberapa video yang berdurasi 13 hingga 30 saat itu, seorang remaja dilihat menjadi mangsa buli apabila dia diminta untuk berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan serta ditumbuk beberapa kali di perut oleh beberapa remaja lain.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan buli berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 3:28 PM