TAMAN Tasik Taiping yang mendamaikan.
TAMAN Tasik Taiping yang mendamaikan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

PENDUDUK di bandar raya Seremban, Negeri Sembilan, Melaka Bersejarah dan Kuala Terengganu, Terengganu boleh tersenyum bangga apabila bandar mereka diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2020.

Turut berada dalam senarai itu adalah bandar Bentong dan Kuantan, Pahang, Jasin, Melaka, Kulai, Johor, Taiping, Perak, Jeli, Kelantan dan Yan, Kedah.

Pemilihan bandar itu adalah berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Menurut laporan Bernama, kajian itu membabitkan dua bandar yang terletak dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya, enam bandar di kawasan PBT bertaraf perbandaran dan dua bandar lagi di kawasan PBT bertaraf majlis daerah.

Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia 2019 ini adalah susulan daripada Anugerah Bandar Mampan 2019 yang diisytiharkan pada November tahun lalu sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 oleh PLANMalaysia.

KAMPUNG Singkir Laut di Yan.
KAMPUNG Singkir Laut di Yan.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Mohd Anuar Maidin berkata, Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 merekodkan tahap kebahagiaan negara secara keseluruhan berada pada paras bahagia dengan pencapaian 80.4 peratus.

Katanya, pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.

"MURNInets adalah alat yang digunakan bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di negara ini di bawah seliaan PLANMalaysia.

"Indeks kebahagiaan itu pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

"Ia juga salah satu petunjuk dalam MURNInets di bawah Dimensi Komuniti Sejahtera yang diguna pakai untuk mengenal pasti tahap kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk Malaysia sejak 2013," katanya.

Jelasnya, Indeks Kebahagiaan adalah satu daripada indikator dalam MURNInets yang dinilai melalui borang soal selidik kepada penduduk yang merangkumi 14 aspek utama iaitu tahap kehidupan dan kesihatan, keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam, infrastruktur asas yang disediakan, kebahagiaan bersama keluarga dan saudara-mara serta keseronokan bekerja.

JAMBATAN Angkat yang menjadi tarikan terbaharu di Kuala Terengganu.
JAMBATAN Angkat yang menjadi tarikan terbaharu di Kuala Terengganu.

"Aspek lain yang turut diambil kira ialah pengurusan kewangan, hubungan dengan jiran, aktiviti bersama komuniti, infrastruktur asas yang disediakan, perkhidmatan PBT dan pemimpin tempatan serta kualiti alam sekitar," katanya.

Sebanyak 106 PBT menyertai kajian ini termasuk PBT Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) dan Sarawak (Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Perbandaran Sibu dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan).

Sementara itu, selain diiktiraf bandar paling bahagia, bandar berkenaan juga memiliki pelbagai lokasi pelancongan menarik untuk dikunjungi.

Bandar raya Melaka misalnya, tidak perlu diperkenalkan lagi dan sentiasa sesak dengan pengunjung terutama pada hujung minggu.

SENI bina Masjid Kristal yang menarik perhatian pelancong.
SENI bina Masjid Kristal yang menarik perhatian pelancong.

BANDAR raya Melaka bersejarah tidak putus dengan kunjungan dari dalam dan luar negara.
BANDAR raya Melaka bersejarah tidak putus dengan kunjungan dari dalam dan luar negara.

Di Kuala Terengganu, keindahan sepanjang persisiran pantainya cukup menggamit kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara ke negeri cantik, budaya menarik itu.

Selain itu, keenakan makanan tempatan seperti satar ikan, nasi dagang, keropok lekor mahu pun makanan laut segar serta seni bina menarik seperti Masjid Kristal dan Jambatan Angkat juga antara faktor utama mengapa bandar Kuala Terengganu menjadi tumpuan ramai.

Begitu juga dengan Kuantan, Pantai Teluk Chempedak dan kawasan ikan bakar di Tanjung Lumpur contohnya antara lokasi tumpuan di negara ini.

Menuju utara pula, Taiping terkenal dengan tarikan utamanya iaitu Taman Tasik Taiping dan Zoo Taiping yang sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.

Di Yan pula, pengunjung boleh ke kawasan air terjun Titi Hayun, Air Terjun Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi, Pantai Tanjung Jaga, Pantai Murni, Jambatan Pulau Bunting dan Kampung Singkir Laut.

Di Jeli pula, pengunjung boleh menikmati keindahan alam semula jadi di Lata Keding, Bukit Kudung atau melakukan aktiviti rekreasi di Gunung Reng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:30 AM