MAHFUZ. FOTO Arkib NSTP
MAHFUZ. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


KADAR elaun pelajar praktikal di agensi kerajaan yang dinaikkan daripada RM300 kepada RM900 sebulan tidak akan menjejaskan pengambilan pelajar bagi tujuan berkenaan dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini berikutan sektor swasta tidak terikat dengan kadar RM900, sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan syarikat masing-masing, manakala bagi kerajaan memang terdapat kuota pengambilan pelajar praktikal sejak dahulu lagi.

Katanya, kerajaan tidak akan meletakkan had bayaran elaun pelajar praktikal di sektor swasta, namun menggalakkan elaun setimpal.

“Saya fikir tidak akan menjejaskan apa apa (pengambilan pelajar), sebab dia ada tempoh (masa), habis tempoh itu akan (diganti) orang lain pula, (tempoh) itu kalau tak silap saya ada tiga bulan hingga enam bulan, kita bukan boleh ambil serentak.

“Cuma kita harap sektor swasta boleh kongsikan keuntungan mereka kepada pelajar praktikal ini untuk membayar elaun yang setimpal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Taufan Lekima kepada 49 penerima daripada Parlimen Pokok Sena, di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau yakin kemurahan hati syarikat swasta membayar elaun yang tinggi akan melahirkan tenaga kerja yang mahir dan profesional.

Katanya, ia secara tidak langsung membentuk persekitaran kerja yang lebih produktif dan persaingan untuk mendapat kerja di syarikat sama.

Khamis lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kenaikan kadar elaun daripada RM300 kepada RM900 itu diputuskan kerajaan dalam mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet anak muda.

Katanya, peningkatan kadar elaun lebih tiga kali ganda itu akan mula berkuat kuasa pada 1 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 12:20 PM