DATUK Abdul Ghani Salleh pada sidang media Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-12 hari ini. FOTO Bernama
DATUK Abdul Ghani Salleh pada sidang media Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-12 hari ini. FOTO Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuching: Seramai 349 calon bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang membuka tirainya hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, semua kertas pencalonan mewakili pelbagai parti termasuk Bebas layak diterima selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi tadi.

"SPR mengesahkan sebanyak 349 kertas penamaan layak bertanding daripada pihak berikut iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 82 kerusi, Parti Bumi Kenyalang (PBK) di 73 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) di 70 kerusi, PKR (28), DAP (26) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) di 15 kerusi.

"Selain itu, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) bertanding di 11 kerusi, AMANAH (8), Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) di lima kerusi, PAS (1) dan Bebas di 30 kerusi," katanya pada sidang media hari ini.

Abdul Ghani berkata, sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung, sebanyak dua kertas penamaan ditolak iaitu di DUN Jemoreng membabitkan calon PBK dan DUN Senadin membabitkan calon Bebas.

Katanya, di DUN Jemoreng, kertas penamaan calon PBK ditolak selepas penyokong calon menarik diri sehingga menyebabkan kertas penamaan tidak lengkap.

Di DUN Senadin pula, kertas penamaan calon Bebas ditolak selepas pencadang dan penyokong calon bukan pemilih berdaftar di kawasan berkenaan.

"Jumlah calon yang bertanding mengikut jantina ialah lelaki seramai 304 orang manakala wanita seramai 45 orang.

"Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember ini," katanya.

Ditanya mengenai sasaran jumlah pengundi pada PRN kali ini ditambah faktor cuaca yang tidak menentu, beliau mensasarkan sebanyak 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.

"Saya yakin dapat capai kerana orang Sarawak baik-baik sahaja," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) bagi memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) khas pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Sarawak dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 3:35 PM