AWANG Tengah menyerahkan kertas pencalonan di pusat pencalonan di Majlis Daerah Lawas. FOTO Bernama
AWANG Tengah menyerahkan kertas pencalonan di pusat pencalonan di Majlis Daerah Lawas. FOTO Bernama
BERNAMA

Lawas: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berhadapan dengan calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini.

Awang Tengah, yang merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dicabar oleh Riyah Basrah dari PBK dan Alias Mail dari PSB.

Beliau merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Sari.

Senarai muktamad calon yang layak bertanding itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Sari Ladin Atok pada kira-kira 10.30 pagi di Pusat Penamaan Calon (PPC) di bangunan Majlis Daerah Lawas, di sini hari ini.

"Sehingga selesai tempoh penghantaran borang pencalonan, hanya tiga calon menghantar borang mereka. Saya berpuas hati dan tiada borang yang ditolak," katanya ketika mengumumkan pengesahan pencalonan bagi DUN itu.

Terdahulu, Awang Tengah merupakan calon terawal tiba PPC pada 7.50 pagi diiringi seorang pencadang dan penyokongnya selain ditemani isteri Datuk Dayang Morliah Awang Daud dan Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan.

Sementara itu Alias yang hadir lengkap berbaju Melayu, tiba bersama pencadang dan penyokong pada pukul 8.40 pagi, dan selang beberapa minit Riyah bersama pencadang serta penyokongnya hadir.

Sebelum ini, DUN Bukit Sari dilaporkan bakal menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan lima penjuru, namun sehingga tamat proses penamaan calon tepat 10 pagi tadi, hanya tiga calon berkenaan hadir ke PPC untuk menyerahkan borang pencalonan.

Pada PRN 2016, Awang Tengah menang tanpa bertanding, sementara pada PRN 2011 beliau yang juga Timbalan Presiden PBB menang dengan majoriti 5,063 undi menewaskan calon PKR Japar Suyut.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Bukit Sari secara keseluruhan mempunyai seramai 13,054 pengundi berdaftar termasuk 119 pengundi awal.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak sementara undi awal berlangsung pada 14 Disember dan pengundian pada 18 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 11:48 AM