(DARI kiri) Jeryin, Azizul, Abdul Talip dan Goem. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
(DARI kiri) Jeryin, Azizul, Abdul Talip dan Goem. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Lundu: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 menyaksikan pertandingan empat penjuru antara GPS, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu dan Bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Gustian Durano mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.30 pagi, hari ini selepas proses penamaan di Dewan Masyarakat Lundu, di sini, ditutup 10 pagi tadi.

"Selepas semakan dilakukan, kami berpuas hati dan tiada calon ditolak kertas penamaannya," katanya.

Pada pilihan raya kali ini, GPS meletakkan anak bekas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Azizul Annuar Adenan bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang ibunya, Puan Sri Jamilah Anu.

Azizul akan ditentang calon daripada PBK iaitu Goem Pijar dan calon PSB yang diwakili oleh Jeryin Pauzi selain seorang lagi calon Bebas, Abdul Talip Ba'ee.

Terdahulu, anggota polis serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melakukan kawalan keselamatan pintu masuk di pusat penamaan calon bermula 8 pagi.

Terdapat beberapa petugas media turut berada di sekitar pusat penamaan calon bagi membuat liputan.

Suasana hari penamaan calon di sekitar pusat pencalonan ini berlangsung tanpa kehadiran penyokong parti bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

N.03: Tanjong Datu
(mengikut kertas undi)
1. Azizul Annuar Adenan (GPS)
2. Abdul Talip Ba'ee (Bebas)
3. Jeryin Pauzi (PSB)
4. Goem Pijar (PBK)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 11:01 AM