Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Polis Kontinjen Terengganu menerima 26 kenderaan pacuan empat roda (4x4) Toyota Hilux GS Cargo baharu untuk membantu penugasan pasukan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kenderaan itu akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebuah Toyota Hilux Cargo diserahkan kepada IPK Terengganu, IPD Kuala Terengganu (enam), IPD Kemaman (empat) serta masing-masing tiga kenderaan kepada IPD Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Dungun.

"Kenderaan ini boleh digunakan untuk membantu melancarkan penugasan ketika banjir dan bencana serta tugas harian termasuk operasi dan Op Covid di Terengganu.

"Sebenarnya, kita dapat 400 pacuan empat roda ini membabitkan kos RM62 juta dan ini adalah penyerahan terakhir untuk Kontinjen Terengganu," katanya.

Mazlan (kanan) menyampaikan kunci kenderaan sebagai simbolik kepada Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud. FOTO GHAZALI KORI
Mazlan (kanan) menyampaikan kunci kenderaan sebagai simbolik kepada Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud. FOTO GHAZALI KORI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Cargo Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6 Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mazlan turut menyampaikan sumbangan kepada 35 individu terdiri daripada anggota dan pesara PDRM.

Sementara itu, Mazlan berkata, pembangunan semula IPD Hulu Terengganu dijangka siap pada April 2024 membabitkan kos kira-kira RM96 juta.

Katanya, Balai Polis Redang pula bakal memperoleh 10 unit kuarters baharu bernilai RM13 juta.

"Pembinaan kuarters ini sudah mendapat kelulusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 2 2022 dengan proses reka bentuk dan tender masih dalam perancangan.

"Kita tengok di Pulau Redang ini sukar untuk anggota menyewa rumah dan kita usahakan kuarters ini untuk kemudahan pegawai dan anggota terutama mereka yang bertugas di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 2:45 PM