Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Kedah menerima 30 pacuan empat roda baharu Toyota Hilux Single Cab 2.4 (MT) bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang sudah berusia.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua kenderaan itu adalah untuk gunasama operasi pasukan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 28 kenderaan diserahkan kepada kontinjen Kedah, termasuk sebuah unit untuk Pusat Latihan Polis Langkawi dan Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi Wilayah Satu.

"Kenderaan ini untuk kegunaan penugasan sekatan jalan raya (SJR), light strike force (LSF), membawa mayat, mengangkut barang dan lain-lain.

"Setiap kenderaan itu dilengkapi aksesori iaitu dua unit bracket senjata, perakam digital berkapasiti 128GB dan peti pertolongan cemas serta pelbagai barangan lain," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

DATUK Seri Mazlan Lazim melakukan "flag off" untuk 30 kenderaan baharu 4WD (1 tan) GS-Cargo Gunasama Operasi yang diserahkan ke Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Seri Mazlan Lazim melakukan "flag off" untuk 30 kenderaan baharu 4WD (1 tan) GS-Cargo Gunasama Operasi yang diserahkan ke Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Hadir sama, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan.

Mazlan berkata, kenderaan ini mampu membawa 10 orang penumpang pada satu-satu masa.

Katanya, setakat ini kenderaan yang sudah melebihi usia adalah sebanyak 18,279 buah dan ia perlu diganti dari semasa ke semasa bergantung pada kewangan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 1:16 PM