Mazlan semasa sidang media  selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Carco PDRM Kontinjen Terengganu di Pengkalan Unit 6 Polis FRU, Wakaf Tapai. FOTO GHAZALI KORI
Mazlan semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Carco PDRM Kontinjen Terengganu di Pengkalan Unit 6 Polis FRU, Wakaf Tapai. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seramai 23,766 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk ahli keluarga positif Covid-19 sepanjang penularan wabak itu bermula Mac tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 160 kematian direkodkan dalam tempoh sama dengan 39 kematian membabitkan pegawai dan anggota PDRM.

Beliau berkata, sebanyak 118 kematian lagi membabitkan ahli keluarga manakala tiga kematian membabitkan pegawai awam.

"Mengikut pecahan kes positif, seramai 1,794 kes membabitkan pegawai kanan polis, 10,577 pegawai rendah polis dan 1,137 lagi adalah pegawai awam.

"Untuk ahli keluarga sahaja, seramai 10,258 orang positif Covid-19 menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 23,766 orang.

"Justeru, saya mengingatkan warga PDRM termasuk ahli keluarga mereka sentiasa berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Cargo Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6 Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, setakat ini, tiada pegawai dan anggota menolak suntikan Covid-19 kecuali yang mengalami masalah kesihatan.

Beliau berkata, ketika ini, suntikan dos penggalak kepada warga PDRM sedang dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:27 PM