JUMLAH penduduk lelaki di Malaysia melebihi jumlah perempuan dengan nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. FOTO Arkib NSTP
JUMLAH penduduk lelaki di Malaysia melebihi jumlah perempuan dengan nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

"TAHUN ini jumlah penduduk lelaki di Malaysia melebihi jumlah perempuan dengan masing-masing 16.8 juta dan 15.9 juta iaitu nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, jumlah penduduk Malaysia tahun ini dijangka meningkat kepada 32.7 juta orang berbanding 32.5 juta pada 2019 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.4 peratus.

Menurutnya, angka itu berdasarkan Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2020.

"Penurunan kadar pertumbuhan penduduk itu disebabkan pengurangan bilangan penduduk bukan warganegara daripada 3.1 juta tahun lepas kepada 3.0 juta pada 2020.

"Ini selaras penutupan sempadan kita dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penyebaran pandemik Covid-19 di seluruh dunia," katanya.

DR Mohd Uzir. FOTO BERNAMA
DR Mohd Uzir. FOTO BERNAMA

Mohd Uzir berkata kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan jumlah penduduk meningkat daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta tahun ini.

Beliau berkata, penerbitan itu juga melaporkan peratus penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun kepada 23.3 peratus berbanding 23.5 peratus pada 2019.

"Peratus keseluruhan bagi penduduk 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.8 peratus pada 2019 kepada 69.7 peratus pada 2020.

"Ini berikutan jumlah penduduk bukan warganegara lebih rendah, kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing," katanya.

Menurut Mohd Uzir, peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas (umur tua) meningkat daripada 6.7 peratus kepada 7 peratus pada tempoh sama.

"Umur pertengahan juga meningkat daripada 28.9 tahun pada 2019 kepada 29.2 tahun, tahun ini," katanya.

Mohd Uzir berkata Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas adalah 15.3 peratus.

Tiga negeri dengan komposisi penduduk tertinggi pada 2020 adalah Selangor (20 peratus) diikuti Sabah (12 peratus) dan Johor (11.6 peratus), katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:15 AM