MOHD Jafni (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). FOTO Izz Laily Hussein
MOHD Jafni (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Hujan melebihi taburan normal yang bertembung dengan air pasang penuh dikenal pasti punca banjir kilat di bandar raya ini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, hujan lebat dari jam 1.30 petang hingga 5 petang itu mencatat kadar intensiti mencecah 60 milimeter (mm) melebihi kadar normal antara 10 mm hingga 20 mm.

Beliau berkata, semalam juga berlaku air pasang penuh sekitar 2.7 meter hingga 2.9 meter menyebabkan air tidak boleh mengalir keluar walaupun semua pam air beroperasi sepenuhnya dengan baik.

"Hujan yang normal ialah antara 10 hingga 20 mm, tetapi semalam, ia mencecah 60 mm. Ditambah pula, apabila Selat Johor itu airnya pasang dan ditambah hujan lebat, maka air tidak boleh keluar.

"Hasil laporan kira dapati semua pam termasuk pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) beroperasi, tetapi ia tidak cukup untuk menampung keluar air yang banyak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Sehubungan itu, Mohd Jafni berkata, pelbagai kaedah penyelesaian jangka masa panjang diputuskan bagi mengatasi masalah banjir kilat khusunya di kawasan 'Greater JB' termasuk kawasan MBJB, MBIP, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Beliau berkata, pada masa akan datang, semua projek pembangunan di negeri ini terutamanya dari segi keluasan parit, kolam tadahan dan saliran akan mengambil kira taburan hujan lebih tinggi sehingga 100 mm.

"Kita putuskan, pembangunan akan datang, kita letakkan asasnya (projek) pada 100 mm taburan hujan. Maknanya, dari segi parit itu kena sesuai untuk hujan yang mencecah 100 mm iaitu empat kali ganda daripada sistem parit yang ada sekarang," katanya.

Mohd Jafni berkata, berdasarkan laporan Pejabat Daerah Johor Bahru, sebanyak 38 lokasi di sekitar bandar raya ini yang dilanda banjir kilat semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat pasukan khas itu akan diadakan sebulan sekali dengan kerja penyelenggaraan dilaksanakan bermula hari ini dan berterusan bagi mengatasi masalah banjir kilat daripada terus berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 12:13 PM