PROFESOR Datuk Dr Baharudin Puteh. FOTO Twitter
PROFESOR Datuk Dr Baharudin Puteh. FOTO Twitter
Nazri Abu Bakar


Melaka: Rakyat di negara ini harus terus memperkasa penggunaan Bahasa Melayu kerana bahasa rasmi itu popular dan kerap digunakan orang asing di luar negara.

Prof Datuk Dr Baharudin Puteh dari Fakulti Bahasa dan Pendidikan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang juga mantan Timbalan Naib Canselor KUIM berkata, agensi awam dan swasta perlu menggunakan bahasa ibunda itu di semua program mereka kerana ia diiktraf di seluruh dunia.

Menurutnya, kewujudan pengajian bahasa Melayu di universiti luar negara termasuk di Jepun, Korea, Jerman, New Zealand, China dan banyak negara lain bukti ia penting kepada masyarakat global.

Katanya, agak janggal apabila bahasa berkenaan tidak digunakan dengan betul di negara sendiri sedangkan penduduk dunia mempelajari bahasa berkenaan dengan serius.

"Jangan malu menggunakan Bahasa Melayu kerana tidak menjatuhkan martabat kita malah lebih dipandang tinggi oleh warga asing kerana mengamalkan budaya penggunaan bahasa yang unik dan menarik.

"Bahasa Melayu diakui sentiasa diperkasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malah banyak penggunaan ayatnya yang ditambah baik dan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. Namun penguatkuasaan penggunaannya perlu lebih diberi penekanan termasuk di papan tanda, iklan dan di majis rasmi," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pekerja Bangladesh, Vietnam, India, England dan Nepal hanya mengambil kira-kira tiga bulan untuk fasih dalam Bahasa Melayu bermakna ia mudah difahami dan mampu lebih meluas untuk digunakan di seluruh dunia.

Katanya, apabila golongan ini pulang ke negara masing-masing mereka menjadi agen penyebaran penggunaannya dan ia juga memudahkan urusan rakyat di negara ini apabila melancong di seluruh dunia.

"Jika rakyat sendiri tidak menggunakannya sudah pasti ia menjejaskan perkembangannya," katanya.

Dr Baharudin berkata, langkah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menggunakan Bahasa Melayu dengan fasih selain rakyat di Arab Saudi, Palestin dan Sri Lanka serta ramai lagi bertutur dengan lancar bahasa berkenaan membuktikan daya tarikannya.

"Teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya semua pihak mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam pelbagai majlis sebagai langkah wajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:06 PM