Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Kelantan dijangka tidak akan mengalami banjir besar pada musim tengkujuh tahun ini berikutan purata hujan setakat ini hanya mencecah 68 peratus.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, purata hujan tahunan di Kelantan adalah 2,700 milimeter (mm) dan setakat ini merekodkan sebanyak 1,835mm.

"Hanya tinggal beberapa episod hujan dan insya-Allah kita jangka banjir di Kelantan tahun ini tidak besar seperti tahun-tahun sebelum ini termasuk pada Disember 2014.

"Namun, jika hujan lebat berterusan melanda dalam tempoh lima jam kemungkinan akan berlakunya banjir kilat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini, hari ini.

TUAN Ibrahim (tengah) ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Ibrahim (tengah) ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa membuat pemantauan terutama di kawasan berisiko banjir serta tanah runtuh di seluruh negara.

"Beberapa kawasan berisiko yang kita kenal pasti iaitu di pantai dan sungai termasuk di Bachok, Pasir Mas di Kelantan; Yan, Kedah dan Ampang, Selangor. Bagi kawasan berisiko ini, kita membuat persediaan lebih awal dengan membaik pulih kerosakan

"Untuk projek membaik pulih runtuhan tebing sungai di Kampung Pohon Celagi, setakat ini sudah mencapai 42.65 peratus dan ianya dijangka siap sepenuhnya 3 Mei tahun depan.

"Jangkaan awal projek ini adalah 38.5 peratus, namun ianya melebihi sasaran apabila pembinaannya lebih cepat dan kesemua kerja di bahagian bawah sudah selesai. Kita berpuas hati dengan projek ini kerana sasaran kementerian dapat dicapai menjelang 100 hari Inspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berharap rizab sungai di negara ini tidak diceroboh kerana lokasi itu akan dijadikan sebagai kawasan rekreasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:32 PM