Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Semua pihak diminta menghentikan sebarang kenyataan politik yang mengelirukan rakyat, sebaliknya terus memberi tumpuan dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya ada pihak yang mengatakan mereka mempunyai majoriti sokongan, ia akan dibuktikan di Parlimen pada September nanti.

"Kita mengambil maklum dengan kenyataan pelbagai pihak yang menyebabkan rakyat keliru. Semua ini akan dibuktikan di Parlimen menerusi usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

"Sudah tidak lama hampir sebulan saja lagi. Ahli Parlimen akan menentukannya nanti. Jadi, sementara itu, kita berharap semua pihak redakanlah isu berkenaan dan hentikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

"Apa yang penting, kita pastikan krisis kesihatan dan ekonomi dapat ditangani dengan baik," katanya pada sidang media ketika lawatan kerja di Projek Pelaksanaan Segera Runtuhan Tebing di Kampung Pohon Celagi, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata rakyat kini mengharapkan kerajaan terus memberi tumpuan menguruskan isu COVID-19.

"Kestabilan politik sangt penting, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menikmati kestabilan politik sejak penubuhan negara.

"Malah, di dunia, Malaysia seringkali dikenali sebagai negara yang mempunyai kestabilan politik yang tidak dapat dipertikaikan.

"Maka, kita perlukan kembalikan kestabilan politik ini. Wakil rakyat dan rakyat akan memastikan kita memilih kerajaan yang terbaik untuk mentadbir negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 11:58 AM