Haslina (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf sambil diperhatikan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali (dua dari kanan) ketika Karnival Agrofiesta di Lotus's Cheras. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Haslina (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf sambil diperhatikan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali (dua dari kanan) ketika Karnival Agrofiesta di Lotus's Cheras. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) giat mengadakan program karnival jualan secara fizikal bagi membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Setiausaha Mafi Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, inisiatif itu bagi membantu usahawan PKS supaya produk keluaran mereka boleh diedarkan ke pasaran yang lebih luas.

"Tujuan inisiatif ini dilaksanakan bagi memperkasakan industri dalam usaha membantu usahawan yang ada produk berkualiti memasarkan produk mereka secara fizikal selain secara dalam talian.

"Kami mula mengetengahkan semula karnival jualan ketika ini memandangkan sudah dua tahun kita mengalami keadaan agak kritikal ekoran penularan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrofiesta di Lotus's Cheras, di sini, hari ini.

Haslina berkata, karnival berkenaan berjaya mengutip pendapatan jualan sebanyak RM80,000 dalam tempoh dua hari pelaksanaannya yang bermula Khamis lalu sehingga esok.

"Kami menyasarkan hasil jualan melalui karnival ini sebanyak RM150,000 dan dalam tempoh dua hari diadakan, ia sudah mencapai RM80,000 jumlah jualan.

"Kami optimis sasaran hasil jualan sebanyak RM150,000 itu berjaya dicapai sebelum karnival ini tamat esok," katanya.

Seramai 27 pengusaha tempatan terdiri daripada peniaga buah-buahan serta produk makanan menyertai karnival berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 8:26 PM