Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menyediakan pelbagai program bagi menarik minat golongan muda tempatan menceburi bidang pertanian.

Ketua Setiausaha Mafi Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, inisiatif untuk menarik minat golongan muda tempatan adalah penting bagi mengelakkan pembabitan warga asing dalam pengusahaan tanaman termasuk di sawah.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan pihaknya adalah Program Agro Preneurmuda yang menarik penyertaan 7,528 individu sejak ia dilaksanakan pada 2015.

"Kami menyediakan pelbagai jenis latihan serta kursus dalam sektor pertanian menerusi program ini termasuk dalam tempoh pandemik secara virtual.

"Melihat kepada trend terkini, terdapat peningkatan pendaftaran membabitkan golongan muda yang menunjukkan minat untuk berkecimpung dalam sektor pertanian," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrofiesta di Lotus's Cheras, di sini, hari ini.

Haslina (kanan) bersama Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali melawat pameran ketika Karnival Agrofiesta di Lotus's Cheras. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Haslina (kanan) bersama Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali melawat pameran ketika Karnival Agrofiesta di Lotus's Cheras. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Haslina berkata, seiring dengan transformasi teknologi tinggi dalam sektor makanan, pihaknya optimis untuk mengalakkan pembabitan golongan muda dalam sektor terbabit.

"Kita bekalkan mereka dengan latihan supaya mereka mendapat ilmu berkaitan sektor pertanian dan makanan.

"Malah, program yang kita anjurkan bukan sahaja untuk golongan muda tetapi juga bagi setiap lapisan umur," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan warga asing hanya dilihat mengisi peluang pekerjaan di sektor pembinaan, perladangan, perkilangan dan pembuatan.

Namun, kini terdapat lebih 200 warga Bangladesh dan Rohingya menjadi tauke besar dengan menyewa sawah daripada pemilik untuk mengusahakannya.

Kehadiran mereka dikesan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Mafi di tujuh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Situasi itu mencetuskan rasa bimbang kementerian mengenai penguasaan orang luar ke atas sawah milik orang tempatan yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada industri padi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 8:30 PM