KEJADIAN jalan runtuh dilaporkan berlaku di dua lokasi sepanjang jalan utama menghala ke penempatan masyarakat Orang Asli POS Yum. FOTO Polis Daerah Sungai Siput
KEJADIAN jalan runtuh dilaporkan berlaku di dua lokasi sepanjang jalan utama menghala ke penempatan masyarakat Orang Asli POS Yum. FOTO Polis Daerah Sungai Siput
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Insiden kegagalan cerun yang sekali gus mengakibatkan kejadian jalan runtuh dilaporkan berlaku di dua lokasi sepanjang jalan utama menghala ke penempatan masyarakat Orang Asli Pos Yum, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, susulan itu jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada laluan mana-mana kenderaan.

Beliau berkata, penutupan jalan itu turut membabitkan laluan menghala ke Air Terjun Lata Penyel, di Kampung Pendeq POS Yum yang sedia menjadi tumpuan pelancong dari komuniti luar bagi industri ekopelancongan.

"Jalan berkenaan sudah ditutup sepenuhnya demi keselamatan dan tujuan penyelenggaraan.

"Runtuhan berlaku di dua kawasan iaitu sebelum serta selepas kedudukan terletaknya Lata Penyel dari jalan utama menghala POS Yum," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada hujan berterusan punca kejadian itu, Mohd Khaizam berkata, siasatan berhubung perkara itu dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sementara itu, JKR Daerah Kuala Kangsar menerusi hantaran di Facebook rasmi jabatan itu berkata, kejadian berlaku di laluan bernombor A300, Jalan Utama Pos Beswok berdekatan Kampung Penyel.

Menurut hantaran itu, runtuhan membabitkan kedalaman cerun antara 10 hingga 15 meter dengan panjang kawasan jalan yang runtuh sepanjang 60 meter.

Katanya, jentera akan memasuki kawasan itu pada hari ini untuk pembinaan jalan sementara yang menghubungkan jalan yang terputus berkenaan.

"Jangkaan untuk siap jalan sementara adalah antara satu hingga dua hari dengan notis penutupan jalan juga sudah dikeluarkan.

"Bagi tindakan masa panjang, Slope Reconstruction (pembinaan semula cerun) pada lokasi berkenaan akan dijalankan berdasarkan kepada pemeriksaan forensik kegagalan cerun terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 1:01 PM