HAKISAN di Jalan Kuala Mu susulan kekerapan hujan. Foto ihsan FB Komuniti Pos Kuala Mu Sungai Siput
HAKISAN di Jalan Kuala Mu susulan kekerapan hujan. Foto ihsan FB Komuniti Pos Kuala Mu Sungai Siput
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Pelancong yang mahu berkunjung ke Pos Kuala Mu, di sini, dinasihatkan berhati-hati susulan hakisan tanah di Jalan Kuala Mu, baru-baru ini.

Pengerusi Koperasi Pos Kuala Mu, Hamid M Rafi, 38, berkata, musim tengkujuh serta kekerapan hujan menyebabkan rekahan terhasil di laluan berturap sekali gus mengurangkan kestabilan cerun.

"Jalan itu sememangnya berlubang sejak 2018 lagi namun lama-kelamaan rekahan semakin membesar dan kalau diikutkan sekarang, kawasan itu memang bahaya.

"Namun kita tidak boleh menafikan hasrat pelancong yang masih ingin berkunjung ke Pos Kuala Mu, cuma kita nasihatkan supaya berhati-hati sahajalah," katanya sewaktu dihubungi.

Pos Kuala Mu menjadi lokasi tumpuan melalui pembinaan 100 unit chalet yang diselenggara oleh komuniti Orang Asli.

Kawasan itu sudah dibuka kepada pengunjung sejajar dengan kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan pada 11 Oktober lalu.

Hamid berkata, kebelakangan ini hakisan menjadi semakin cepat terutama sejak Sabtu lalu susulan hujan lebat semalaman.

"Hakisan turut berpunca daripada aliran air longkang yang seterusnya membentuk rekahan yang semakin membesar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, laporan sudah dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Kangsar kepada pihak forensik cerun JKR untuk tindakan lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang itu berkata, tindakan awal pihak konsesi ialah meletakkan papan tanda amaran, penghadang serta lembaran kanvas plastik pada lokasi terbabit.

"Laporan kerosakan dibuat kepada Ibu Pejabat JKR Perak bagi mendapatkan peruntukan membaiki cerun itu, di samping pemantauan berterusan JKR Daerah Kuala Kangsar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 10:28 AM