Dr Kasemani Embong
Dr Kasemani Embong
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Kelab Bolasepak Terengganu (TFC) masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada pertandingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 kepada TFC sebagai tuan rumah dan MFL selaku penganjur.

Katanya, siasatan dilakukan mendapati TFC dan MFL gagal mematuhi memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong iaitu penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna sepanjang perlawanan membabitkan TFC dan JDT.

"Walaupun pengurusan TFC mematuhi peraturan lain iaitu menyediakan QR kod Mysejahtera, pengambilan suhu dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki stadium, tetapi pihak berkenaan dikesan gagal mengawal penonton sehingga tiada penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri berpuas hati dengan tindakan TFC yang mengehadkan bilangan penonton.

"TFC didapati hanya membenarkan hanya 20,000 penonton berbanding kapasiti stadium yang mampu memuat seramai 47,500 orang," katanya melalui kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati TFC hanya membenarkan penonton lengkap vaksin memasuki stadium dan mewajibkan penonton memakai pelitup muka sepanjang perlawanan.

Menurutnya, penganjur menyediakan pasukan kawalan keselamatan seramai 430 orang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas keselamatan di pintu masuk kompleks sukan.

"Bagaimanapun, penganjur gagal mengawal penonton untuk melakukan penjarakan fizikal selain penonton tidak memakai pelitup muka ketika menyaksikan perlawanan.

"Setiap individu perlu memainkan peranan penting dalam memastikan diri tidak mendapat jangkitan dan tidak menjangkiti orang lain.

"Ini penting bagi mencegah berlakunya penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga, komuniti dan tempat kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:04 PM