Pemain pertahanan KDA FC, Ariff Farhan gigih menjalani latihan. FOTO Ihsan KDA FC
Pemain pertahanan KDA FC, Ariff Farhan gigih menjalani latihan. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ariff Farhan mengajak penyokong pasukan itu yang dijangkakan seramai 6,000 orang akan turun memberi sokongan pada perlawanan mereka menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman malam ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, peluang kebenaran hadir ke stadium kali ini perlu dimanfaatkan dengan tidak melanggar arahan serta peraturan yang digariskan seperti sentiasa memakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal, duduk di tempat yang disediakan, larangan berkumpul beramai-ramai dan lain-lain lagi demi kelulusan yang sudah diberikan kepada penonton.

"Saya berharap semua penyokong kekal berdisiplin serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Peluang penyokong dapat hadir ke stadium malam ini dan memberi sokongan kepada pasukan harus 'dibalas' dengan pematuhan peraturan agar imej bola sepak penyokong Kedah dapat dikekalkan dengan baik dan seterusnya melancarkan perancangan perlawanan itu nanti.

"Kita tahu penyokong Kedah memang teruja untuk ke stadium, begitu juga kami pemain sangat merindui kehadiran penyokong Kedah ke stadium dalam memberi sorakan semangat, namun dalam masa yang sama kita juga perlu tunjukkan bahawa penyokong Kedah adalah penyokong yang terbaik dari segi pematuhan peraturan". katanya.

Menyentuh mengenai perlawanan malam ini, pemain yang baru pulih dari kecederaan kepala dan pertama kali diturunkan sewaktu menentang Selangor FC pada Selasa lalu berkata, kehadiran semula penyokong ke stadium bakal menambahkan lagi semangat juang pemain ketika beraksi.

"Penyokong Kedah ini kita tahu memang antara penyokong fanatik dan untuk malam ini saya rasa begitu bersemangat sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 3:26 PM