STUART gesa penonton patuhi SOP ditetapkan.
STUART gesa penonton patuhi SOP ditetapkan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Akibat gagal memastikan penyokong mengikuti setiap prosedur operasi standard (SOP) keselamatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Terengganu Football Club Sdn Bhd dan MFL terpaksa menerima akibatnya apabila masing-masing didenda RM10,000.

Denda berkenaan berdasarkan pemerhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati MFL dan Terengganu sebagai tuan rumah gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton terutama berkaitan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna ketika TFC seri 1-1 bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 November lalu.

Mengesahkan perkara berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, beliau menerima pemakluman daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) selepas melakukan siasatan lanjut berkaitan pelanggaran SOP.

Hasil siasatan JKNT melihat pasukan tuan rumah mengambil langkah antaranya menghadkan bilangan penonton seramai 20,000 orang (42.6 peratus) daripada kapasiti sebenar venue sebanyak 47,500 orang.

"MFL menerima kunjungan daripada wakil-wakil KKM pada hari ini dan mereka menjelaskan situasi berdasarkan siasatan mereka berkenaan perlawanan separuh akhir pertam Piala Malaysia 2021 di antara pasukan TFC dan JDT.

"Satu notis tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada Terengganu Football Club Sdn Bhd dan MFL masing-masing dengan nilai RM10,000. MFL dan Rakan Kongsi Liga akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada KKM di mana pelaksanaan pematuhan SOP ini sangat penting dalam usaha mengekang rantaian pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, MFL selaku penganjur sangat kesal kerana beberapa insiden pelanggaran pematuhan SOP berlaku dalam kempen Piala Malaysia 2021 di mana kita seharusnya lebih peka terhadap kenaikan kes pesakit Covid-19 yang semakin meningkat dan saya berharap perkara seperti ini tidak akan kembali berulang di masa akan datang," katanya.

Selain itu, kesan kegagalan pematuhan SOP dalam kalangan penyokong tidak akan terhenti di situ saja apabila kemungkinan memberikan impak buruk kepada aksi final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November ini.

Stuart mendedahkan kebimbangan MFL adalah pihak kerajaan yang sentiasa berusaha keras untuk mengawal pergerakan wabak Covid-19 boleh menarik balik syarat kemasukan penonton untuk aksi final akan datang.

"Suka atau tidak, kita harus bersikap lebih matang dalam norma baharu kehidupan kita yang diancam virus Covid-19. Jika perkara pelanggaran SOP masih berlaku di masa akan datang, MFL bimbang kemasukan penonton untuk aksi final TM Piala Malaysia dan saingan Liga Malaysia musim depan akan ditarik balik.

"Jadi, saya berharap penyokong memiliki sentimen sayangkan bola sepak negara dan sentiasa mengikut peraturan atau pematuhan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Sekali lagi saya berharap insiden yang mengaitkan pelanggaran SOP tidak akan kembali berulang untuk aksi timbal balik Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung pada malam esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 9:34 PM