Menteri Besar ketika mengadakan sidang media mengenai keputusan tidak membuat rayuan keputusan petisyen Parlimen Kemaman. FOTO BAHAROM BAKAR
Menteri Besar ketika mengadakan sidang media mengenai keputusan tidak membuat rayuan keputusan petisyen Parlimen Kemaman. FOTO BAHAROM BAKAR
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pas tidak memandang rendah mana-mana parti dan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kemaman nanti.

Sebaliknya, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan dengan majoriti yang lebih tinggi.

"Kita tidak pernah menganggap mana-mana kerusi sebagai kerusi yang mudah untuk dimenangi termasuklah (Dewan Undangan Negeri) Ru Rendang pun walaupun kita telah menang (kerusi itu) selama puluhan tahun apatah lagi di kerusi-kerusi parlimen.

"Mana-mana yang ada, kita akan anggap sebagai suatu medan untuk kita bekerja keras dan sepenuh hati daripada jentera.

"Saya percaya rakyat kita yang berada di kawasan itu juga tersangat teruja untuk memberi kemenangan kepada calon Pas dalam pilihan raya ini. Insya-Allah, kita akan bekerja ke arah itu (kekalkan kemenangan)," katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai calon bagi kerusi Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri yang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Terdahulu, Pas memutuskan tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya yang diputus Mahkamah Pilihan Raya Terengganu bagi Parlimen Kemaman.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, justeru, Pas kini menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid daripada Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.

Pada PRU-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi berkenaan selepas mendapat 65,714 undi menewaskan tiga calon lain iaitu calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi), calon Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi) dan calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340 undi).

Che Alias memenangi kerusi berkenaan untuk penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 3:59 PM