Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dijual dalam bentuk rokok pada harga RM100 hingga RM150 sebatang dan boleh dibeli secara dalam talian.

Itu taktik digunakan sepasang kekasih berusia 29 dan 30 tahun yang disyaki membekalkan dadah jenis tumbuhan semula jadi atau dikenali sebagai 'Mushroom'.

Pasangan terbabit dikatakan mendapatkan bekalan dadah itu melalui laman web gelap (dark web) dari luar negara sebelum diproses menjadi rokok dan dijual di pasaran tempatan pada harga tinggi.

Kegiatan pasangan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Diploma Pengurusan Hotel itu bagaimanapun berjaya dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menerusi serbuan Op Grace yang merampas dadah serta peralatan memproses dadah bernilai RM1.5 juta, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Seri Wangsa, Wangsa Maju, di sini, pada jam 6.50 petang.

"Pada mulanya, polis menahan pasangan itu di kawasan lobi kondominium sebelum membawa ke sebuah unit kediaman yang dijadikan makmal memproses dadah.

"Hasil pemeriksaan menemui beberapa guni dadah jenis Mushroom seberat 57 kilogram (kg), dadah jenis ganja (17.7 gram), serbuk proses dadah (2.9 kg), 23 botol cecair vape mengandungi dadah, 27.8 liter cecair kimia dan pelbagai peralatan memproses dadah.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM300. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, soal siasat dilakukan mendapati suspek membeli dadah itu dari luar negara secara dalam talian dan memprosesnya di rumah yang disewa mereka sebelum dijual semula.

Katanya, pelanggan dari Lembah Klang mendapatkan bekalan secara terus daripada suspek manakala penghantaran kepada pelanggan luar Lembah Klang pula dibuat melalui perkhidmatan kurier.

"Mereka aktif melakukan aktiviti itu sejak tiga bulan lalu dan disyaki mempelajari cara memproses dadah Mushroom serta cecair vape mengandungi dadah itu melalui 'online'," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata, JSJN Kuala Lumpur yang melancarkan Op Paloma kelmarin, turut menahan lima individu termasuk seorang wanita warga asing dan merampas dadah jenis syabu seberat 35 kilogram membabitkan nilai rampasan RM1.3 juta.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 28 hingga 60 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Taman Desa di sini, antara jam 6 hingga 6.40 petang.

Beliau berkata, suspek kini masih dalam tahanan reman dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 3:52 PM