Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seorang penganggur dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di sini, hari ini atas tuduhan menyamar dengan menggunakan gelaran Datuk Seri Panglima dan melakukan penipuan dua tahun lalu.

Feroz Musa, 47, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin atas dua pertuduhan iaitu mengakui diri sebagai pemegang sah anugerah Datuk Seri Panglima ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang boleh dihukum mengikut Fasal 4(2) Enakmen yang sama.

Kesalahan dilakukan masing-masing di Larkin Perdana pada 23 Jun tahun lalu dan Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda, pada 8 Januari lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

Manakala di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan gelaran dan mempunyai dana luar negara sehingga membuatkan seorang wanita berusia 45 tahun memasukkan RM11,600 ke dalam akaunnya.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Bandar Baru Uda, Johor Bahru, antara 24 Disember tahun lalu hingga 5 Januari lalu, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

FEROZ Musa, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai gelaran Datuk Seri Panglima di Mahkamah. FOTO Nurul Amanina Suhaini
FEROZ Musa, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai gelaran Datuk Seri Panglima di Mahkamah. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Majistret Zuhainie Zull Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:23 PM