Mohd Amin Jalil

Seremban: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan pilihan membabitkan kesalahan menipu dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen, untuk meminta suapan daripada pekerja Pakistan, di sini, lima tahun lalu.

Tertuduh, Sufian Hadi Mohamad, 43, dan Shahrul Abdul Manap, 42, didakwa memperdaya Saifullah Sher Aziz yang juga majikan kepada Nareem Khan Sabir Khan dengan memperdayakan bahawa mereka adalah seorang pegawai imigresen.

Tindakan itu bagi mendorong Saifullah untuk memberikan wang tunai RM500.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Nareem Khan kerana kesalahan bekerja di kedai perabot menggunakan permit kerja ladang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di tempat letak kereta sebuah medan selera di Seremban 2, di sini, pada jam 5.50 petang, 19 Februari 2016.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

SUFIAN Hadi (kiri) dan Shahrul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai pegawai imigresen untuk menerima rasuah RM500 daripada majikan warga asing lima tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SUFIAN Hadi (kiri) dan Shahrul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai pegawai imigresen untuk menerima rasuah RM500 daripada majikan warga asing lima tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Sufian Hadi yang juga seorang penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman denda RM6,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Shahrul yang berkhidmat sebagai Pembantu Awam Gred H11 di Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Hakim Madihah Harullah kemudian membenarkan Shahrul diikat jamin RM7,000 dan menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 12:56 PM