Nazri Abu Bakar

Melaka: Pengundi di negeri ini meletakkan harapan tinggi terhadap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam dan mahu mereka meneruskan tugas pemimpin terdahulu yang tertangguh.

Rata-rata pengundi yang ditemui inginkan wakil rakyat baharu yang mudah didekati, berdedikasi, cekap dan amanah serta mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Karim Johari Sharif, 68, berkata kini tidak timbul lagi kerajaan yang 'longgar' melalui keputusan dibuat oleh rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipilih harus bekerja keras untuk memulihkan ekonomi, selain memastikan infrastruktur dan kesihatan komuniti terpelihara.

"Pendekatan turun padang, meninjau dan mengatasi isu rakyat perlu diberi perhatian termasuk kebersihan bandar, pekan, kampung, taman perumahan, jaringan internet, kebajikan dan kemudahan penduduk diambil tindakan dengan serius.

"Apa pun, kami yakin dengan gabungan wakil rakyat muka baharu dan lama dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka akan bekerja keras bagi memastikan mandat rakyat pelbagai kaum sentiasa diutamakan," katanya.

Bagi pemandu teksi, Hashim Hasan, 63, kemenangan besar itu sememangnya di luar jangkaan, namun yang pasti rakyat mengenang jasa dan sumbangan BN yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

"Sokongan diterjemahkan itu juga menggambarkan rakyat mahukan trend kecemerlangan BN yang memimpin negara sejak puluhan tahun terus dilaksanakan di negeri ini," katanya.

Kamarudin Mamat, 54, pula berkata semua ADUN yang terpilih diharap terus memberi keutamaan kepada kebajikan penduduk, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi galakan kepada penjanaan ekonomi, terutama kepada peniaga kecil dan generasi muda.

"Gambaran sokongan itu (PRN) menjelaskan keinginan rakyat untuk melihat Melaka tidak diganggu gugat dengan isu politik yang merimaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 12:57 PM