TREN MRT ketika majlis perasmian Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, Taman Batu Permai, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
TREN MRT ketika majlis perasmian Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, Taman Batu Permai, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sesi ujian migrasi sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya akan dijalankan bermula esok hingga Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan berkata, pihaknya akan memantau rapi sesi ujian yang dijalankan oleh kontraktor pembinaan projek MRT itu bagi memastikan semua langkah dan prosedur dipatuhi.

"Sesi ujian ini akan melibatkan operasi tren ujian dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga Stesen MRT Kwasa Damansara. Tren-tren ujian ini akan berhenti di semua stesen MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 dan tidak akan mengambil penumpang.

"Kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang kekal seperti sedia ada ketika ujian dijalankan." katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu bermula pada 16 Jun lalu, manakala operasi Laluan Fasa Dua dijangka bermula Januari tahun depan sekali gus akan membolehkan tren melalui keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

Amir berkata, sesi ujian ini adalah antara prasyarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, selain untuk mengukur dan menguji keberkesanan sistem menjelang pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya.

"Pihak Rapid Rail akan memaklumkan kepada pengguna sekiranya ujian ini dapat diselesaikan lebih awal daripada jadual," katanya.

Amir berkata, bagi memastikan penumpang tidak keliru, notis akan dipasang pada pintu tren yang terlibat bagi melarang pengguna daripada memasukinya dan pihak operasi juga telah menampal notis dan pengumuman di stesen turut dijalankan bagi makluman penumpang.

Pemakluman menerusi platform media sosial Rapid KL turut dijalankan. Sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03-78852585.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:26 PM