Idris Ahmad berbual bersama Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Ouyang Yujing di Majlis Penyampaian sumbangan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia kepada JAWI Food Bank di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Idris Ahmad berbual bersama Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Ouyang Yujing di Majlis Penyampaian sumbangan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia kepada JAWI Food Bank di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan menghentikan segala bentuk penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diuruskan oleh Syarikat Tujuan Khusus (SPV) di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihaknya memberi jaminan langkah itu membabitkan mana-mana aset sedia ada yang belum lagi dijual.

"Setakat ini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH baru ditubuhkan dan SPV juga masih diteruskan, kita tunggu RCI bergerak untuk pelaksanaan pelan pemulihan dilakukan.

"Saya telah mengarahkan sebarang bentuk penjualan baharu terutama aset perladangan yang dimiliki TH dihentikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kerajaan Republik China kepada Food Bank JAWI di Kompleks Islam di sini hari ini.

Ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kabinet bersetuju pengurusan baharu TH mewujudkan SPV untuk memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.

SPV diwujudkan kononnya bagi memaksimumkan semua aset TH yang prestasinya tidak memuaskan, termasuk kemungkinan menjual aset berkaitan.

Pada 14 Julai lalu, kerajaan Pakatan Nasional (PN) bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai TH.

Ia antara lain bagi memastikan siasatan dalaman telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan TH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kos mengerjakan ibadah haji musim depan Idris berkata, dalam masa terdekat beliau akan diberi taklimat oleh TH berkenaan perkara itu.

Katanya, tarikh perjumpaan dengan TH itu sudah ada dan pegawai yang terbabit baru pulang dari Makkah bagi mendapatkan maklumat berkenaan ibadah haji musim depan.

Katanya, keputusan berkenaan kos mengerjakan ibadah haji ini akan dibentangkan di Kabinet bagi mendapat kelulusan.

"Kalau kos umrah pun naik RM2,000 tidak berkemungkinan kos haji juga naik, namun kita serahkan kepada Kabinet untuk putuskan sama ada naik atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 2:31 PM