ANWAR berucap ketika majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara TH, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANWAR berucap ketika majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara TH, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan komited mengembalikan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) kepada TH.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MOF sedang berunding mengenai perkara itu dan memberi jaminan memindahkan semula aset berkenaan.

Katanya, pemindahan aset yang dipegang sementara oleh MOF adalah bagi memulihkan semula keyakinan kepada TH termasuk menangkis pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya sudah melihat rekodnya, ia masih dalam MOF dan saya sudah beritahu dari awal sejak ambil jawatan ini, sebaik TH diurus dengan baik dan meyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanahkan kepada SPV kepada TH.

"Penyerahan semula aset ini juga bagi membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan di bawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

"Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 TH di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerangka besar mengenainya akan disampaikan di parlimen pada November ini dan jika tidak sempat ia dijangka akan dibentangkan tahun depan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga akan meminda Akta Tabung Haji (TH) bagi menambahbaik pengurusan dan kecekapan organisasi.

Katanya, kerajaan mahu terus melihat TH terus berkembang sihat dan fokus dalam melaksanakan mandat umat Islam negara.

"Kerajaan akan terus menyokong semua usaha yang dilakukan untuk memperkukuhkan tatakelola, tadbir urus dan kedudukan kewangan Tabung Haji.

"Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta berkenaan akan dibentang ke parlimen selewatnya pada sesi awal tahun depan.

"Kerajaan akan meminda Akta TH bagi memenuhi maksud maqasid bukan saja pengurusan tapi juga kecekapannya untuk berfungsi memberi penghayatan kepada ibadah umat Islam," katanya.

TH mempunyai hampir sembilan juta pendeposit serta 123 cawangan dengan lebih 10,000 'touch-points' di seluruh negara dan mempunyai sebuah pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah Konsulat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:32 AM